Salah satu tugas utama kita adalah membahagikan simpanan kepada beberapa tempat. Dalam istilah teknikal, perkara ini disebut sebagai asset allocation.
Tujuan kita membuat asset allocation adalah untuk menguruskan risiko. Tidak ada pelaburan yang ‘risk free’ selepas ambil kira faktor inflasi. Justeru, kita perlu membahagikan simpanan ke beberapa tempat sekaligus.
Jangan keliru antara asset allocation dengan product allocation. Ini kerana individual stock dan unit trust boleh jadi dalam satu jenis aset yang sama walaupun dari sudut produk, keduanya adalah berbeza.
Jadi sebagai permulaan, buat pembahagian aset seperti berikut, dibahagikan mengikut dua kriteria utama iaitu discretion dan liquidity. Discretion di sini bermaksud sejauh mana kita dapat mengawal pelaburan, dan liquidity ialah tahap kecairan.
1. Akaun Tunai
Tujuan utamanya adalah untuk perbelanjaan harian dan juga kecemasan. Lazimnya dalam bentuk akaun simpanan di bank, atau akaun money market. Return bukan yang paling penting, tetapi akses kepada akaun tersebut. Jumlah simpanan dalam akaun tunai ini juga tidak dikira sebagai long term investment asset allocation.
Berapa banyak yang perlu ada dalam bentuk tunai? Jawapannya bergantung kepada faktor kerjaya.
Untuk mereka yang mempunyai kerjaya yang stabil seperti penjawat awam, maka simpanan bersamaan 3 bulan perbelanjaan adalah mencukupi.
Manakala bagi pekerja sektor swasta, cukupkan 6 bulan simpanan.
Bagi yang berniaga sendiri, 12-24 bulan. Dan bagi mereka yang sudah retire, sekurang-kurangnya 24 bulan.
2. Discretionary Long Term Liquid Investment
Seterusnya di sini kita dapat memilih (discretion) dimana kita mahu laburkan duit untuk jangka masa panjang.
Pilihannya seperti Tabung Haji, ASB, (portfolio) saham, exchange traded fund (ETF), unit trust, private mandate, bond & sukuk, real estate investmet trust (REIT) dan lain-lain.
Adalah penting untuk memastikan aset-aset ini dapat dicairkan dengan cepat.
3. Discretionary Long Term Illiquid Investment
Perbezaan dengan kategori (2) ialah liquidity.
Hartanah, collectibles seperti duit lama, barang antik, lukisan adalah antara aset yang tidak mudah cair dan mengambil lebih masa yang lama untuk dicairkan.
Pada masa yang sama saham dalam syarikat sendirian berhad, unlisted public companies (yang lazimnya menawarkan preference shares), venture capital dan apa-apa yang sewaktu denganya juga adalah dalam kategori ini.
4. Non-Discretionary Investment
Simpanan kalian dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), atau apa-apa skim persaraan lain yang ada seperti annuiti.
Pencarum KWSP mempunyai akses yang terhad untuk menggunakan duit simpanan mereka sehinggalah berusia 55 tahun. Sehingga usia tersebut, pengeluaran adalah dikawal.
Walaupun begitu, pencarum dibenarkan untuk memanfaatkan skim pelaburan ahli KWSP untuk dilaburkan dalam bentuk kategori (2) seperti unit trust dan private mandate bagi yang layak.
5. Akaun Spekulatif
Ini lazimnya melibatkan pembelian individual stocks dan futures market. Di Malaysia, futures market terbesar adalah crude palm oil futures (FCPO). Dan ada juga yang menjadikan individual unit trust, cryptocurrency dan emas untuk menjana short term profit.
Beli ebook: Berani Trade FCPO
Akaun spekulatif ini melibatkan short term trading. Jual beli aset yang dibuat lebih kepada faktor momentum dan bukannya fundamental.
Aktiviti spekulasi ini bukanlah aktiviti pelaburan. Tujuannya bukan untuk menggandakan simpanan tetapi berharap untuk menjana pendapatan tambahan. Good luck kepada yang mahu melakukannya.
5 kategori aset inilah yang membentuk portfolio aset tuan puan. Setiap darinya ada fungsi tersendiri dan saling melengkapi antara satu dengan yang lain.
Bagi tujuan persaraan misalnya, adakah kategori (4) - KWSP - jumlahnya mencukupi bila sampai usia 55 tahun? Maka, di situlah peranan pelaburan kategori (2) untuk menampung jurang tabung persaraan yang ada.
Lihat 5 kategori sebagai piramid supaya dapat menyusun keutamaan dalam wealth management.
Perkara yang paling asas adalah mempunyai simpanan tunai yang mencukupi terlebih dahulu. Apabila simpanan itu kuat, maka lebih mudah untuk pergi ke tingkat piramid yang seterusnya.
Piramid asset allocation seterusnya juga memberi keutamaan dahulu kepada liquid investment sebelum membuat pelaburan dalam illiquid investment seperti hartanah. Ramai orang tidak menyedari kesilapan ini dengan tidak menyediakan liquidity secukupnya terlebih dahulu.
Dan akhir sekali barulah membuat aktiviti spekulasi, jika mahu.
Bezakan Pelaburan Dengan Spekulasi
“Saya mahu untung 10% sebulan,”
Ramai yang menghubungi saya untuk melabur katanya. Tapi pada hakikatnya apa yang mereka mahu adalah kategori (5) iaitu mempunyai hasrat menambah income bulanan dengan aktiviti spekulasi.
Bagi ramai orang, aktiviti melabur dan spekulasi kelihatan sama tetapi sebenarnya adalah sangat berbeza. Kedua-duanya bermula dengan perlu meletakkan modal sekarang, supaya meraih untung pada masa hadapan. Cuma bagaimana untung itu diperoleh?
Cara pertama adalah dengan aset itu sendiri menjana pendapatan. Maka itulah pelaburan. Cara kedua pula berharap ada orang lain membelinya pada masa hadapan dengan harga lebih tinggi tanpa mengira kemampuan aset tersebut menjana pendapatan. Maka itu adalah spekulasi.
Jadi sekarang, apa yang tuan puan mahukan, melabur untuk jangka panjang atau membuat aktiviti spekulasi dengan harapan mahu menjana income jangka pendek?
Kerja saya bukanlah membantu klien membuat aktiviti spekulasi sebaliknya menggandakan simpanan mereka untuk jangka masa panjang. Lazimnya untuk mencapai life goals tertentu seperti mempunyai wang yang cukup di tangan untuk tujuan retirement.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.