Berapakah Jumlah Simpanan Yang Ideal Untuk Bersara?
Dan langkah-langkah melakukannya
Berita Harian pada 25 Januari 2023 melaporkan:
Tunggu dulu.
Baca penerangan lanjut:
Anggaran simpanan persaraan ideal RM600,000 itu dikeluarkan oleh KWSP bagi membolehkan seseorang pencarum bujang menampung kehidupan untuk tempoh 20 tahun selepas bersara, iaitu kira-kira RM2,500 sebulan.
Ini bermaksud:
(1) Bagi yang bujang pada usia persaraan, jumlah itu mencukupi…
(2) … untuk tempoh 20 tahun. Dari usia 60 ke 80 tahun.
(3) Kos gaya hidup selepas persaraan adalah dalam 2,500 sahaja sebulan.
Justeru, bagi individu yang berkahwin dan mempunyai perbelanjaan melebihi 2,500 sebulan maka jumlah simpanan ideal yang diperlukan adalah lebih tinggi.
Maka, buatlah satu perancangan persaraan (retirement plan), supaya dapat tahu berapakah anggaran jumlah simpanan yang diperlukan secara customized dan bagaimana untuk mencapainya.
Konsep Simpanan Persaraan
Konsep persaraan adalah seperti di atas. Melibatkan dua fasa.
(1) Wealth accumulation. Bermula dari sekarang sehingga hari terakhir bekerja. Perlu kepada perancangan simpanan (savings plan) yang baik. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
(2) Wealth distribution. Bermula pada bulan pertama tidak menerima gaji. Ketika, ini simpanan persaraan digunakan dan ada aset yang perlu dicairkan.
Persaraan ini macam orang yang suka naik gunung. Masa mendaki ke atas, itulah fasa pertama. Bila sudah menikmati keindahan di puncak, maka masa menurun ke bawah itulah fasa kedua.
Setiap fasa itu ada cabaran tersendiri.
Bagaimana Nak Mula Merancang Untuk Persaraan?
Ini adalah panduan asas yang kalian dapat buat:
1. Anggarkan jumlah pendapatan / tentukan gaya hidup selepas bersara. Hari ini berapakah gaji yang diterima sebulan? Nanti bila sudah capai umur 60 tahun, mahu kekal dengan jumlah pendapatan yang sama, gaya hidup yang sama atau sebaliknya.
2. Berapa simpanan ideal yang perlu ada untuk mencapai #1. Ketika bersara, sudah tidak ada lagi majikan yang bayarkan gaji bulan-bulan. Aset-aset pelaburan, wang simpanan lah yang membayar ‘gaji’ kita.
Ada 2 kaedah pengiraan. Satu, sama ada kita mahu terima ‘gaji’ untuk satu tempoh masa (10 tahun, 15 tahun, 20 tahun). Atau kedua, kita mahu dapat ‘gaji’ selama-lamanya.
3. Berapakah jumlah simpanan sedia ada dan apa potensinya untuk berkembang? Satu, berapa banyak simpanan dalam KWSP. Dua, berapa banyak nilai harta dan simpanan yang lain yang digunakan untuk tujuan persaraan.
Kemudian, anggarkan berapa jumlah kedua-duanya yang dapat dicapai pada umur persaraan.
4. Adakah wujud shortfall? Jurang simpanan. Berapakah jumlah yang tidak cukup.
Seandainya seseorang itu memerlukan simpanan sebanyak 3 juta ringgit (langkah #2) untuk menampung kos gaya hidup selepas pencen (langkah #1) tetapi selepas pengiraan dibuat (langkah #3) cuma mampu ada 2 juta, maka perbezaan itulah jurang simpanan persaraan sekarang.
Maka kita perlukan kepada perancangan kewangan yang baik untuk mengatasi shortfall ini.
Jika tidak wujud shortfall, ucapkanlah alhamdulillah.
Kita Sendiri Tentukan Berapa Yang Kita Mahu
KWSP mempunyai mandat untuk mencapai sasaran simpanan asas minimum ahli sebanyak RM 240 ribu pada usia 55 tahun.
Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan yang minimum untuk menampung keperluan asas persaraan selama 20 tahun, iaitu daripada umur 55 tahun sehingga umur 75 tahun selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia.
Dari jumlah ini, ‘perbelanjaan’ yang dapat dibuat ialah antara 950 - 1 ribu ringgit sebulan.
Justeru, individu yang mempunyai keperluan perbelanjaan dan kehendak selepas usia persaraan yang lebih dari apa yang KWSP telah tolong kirakan secara mudah, perlulah berusaha lebih dari sudut kerjaya semasa dan mempunyai perancangan kewangan yang baik untuk mencapai kehidupan persaraan yang selesa pada masa hadapan.
Penulis
Pakdi merupakan perancang kewangan berlesen, stock advisor dan personal finance speaker.
Mahu mendapatkan khidmat nasihat kewangan & pelaburan ? Sila klik dan tinggalkan mesej di sini.