1. Tahu tak kenapa orang masuk orang selalu masuk scam?
2. Sebabnya dia selalu bermula dengan bertanyakan soalan - berapa untung boleh dapat.
3. Pelik tapi benar. Kalau nak elak masuk apa-apa investment scam maka soalan yang sepatutnya ditanyakan ialah - berapa loss yang patut aku expect dengan pelaburan kau ni?
4. Ha. Mesti dia terkejut.
5. Sebab tak ada dalam skrip.
6. Biasanya promoter scam menjanjikan untung yang singkat. Tak rugi. Sembang tahap babi pun boleh terbang.
INVESTMENT LOSS
7. Investment loss berbeza dengan investment scam.
8. Malangnya entah macam mana ramai orang salah faham tentang perkara ini. Kalau sesuatu pelaburan rugi (termasuk yang berlesen), mereka boleh terus kata itu scam.
9. Pulangan pelaburan yang sah ditentukan oleh prestasi pasaran (market performance). Dalam pasaran pula ada banyak faktor fundamental.
10. Contohnya beli saham syarikat yang jual barang komoditi berasaskan emas, minyak sawit, koko dan sebagainya. Harga saham naik selaras dengan kitaran (cycle) sesuatu komoditi.
11. Bila beli saham cyclical macam ini, kena faham kitarannya. Kalau tak memang menyebabkan pelabur rugi besar. Namun kerugian disebabkan kitaran bisnes macam ini bukan investment scam.
INVESTMENT SCAM
12. Investment scam pula memang satu skim penipuan yang matlamat akhirnya untuk mengambil duit orang secara haram. Takdenya sebab nak tolong orang. Kalau dia kata nak tolong Bumiputera, orang Islam selalunya itu semua membongak aje.
13. Ibarat musang membela ayam.
14. Ketika skim itu masih baru, anak-anak ayam itu diberi dedak yang cukup sehinggalah ayam-ayam itu menjadi cukup besar.
15. Sebab sedap merasa keuntungan “dedak” itulah mereka sentiasa mempertahankan itu bukan scam. Sehinggalah … (sambung di poin 20)
16. Mereka yang masuk investment scam asalnya golongan yang takut sangat dengan investment loss. Suruh melabur dalam pelaburan yang berlesen punyalah beri alasan tak mahu melabur. Anak kucing demam. Kereta tayar botak. Dan alasan paling biasa, nak balik rumah untuk tanya (minta izin) bini dulu.
17. Kemudian, masuk sikit dulu. Dapat dedak. Tak cukup dengan satu jenis dedak. Ada lagi satu dedak.
18. Siapa dapat tarik mangsa baru, dapat lagi dedak yang lebih sedap. Komisyen. Sebab itu mangsa-mangsa yang awal ini begitu bersungguh-sungguh mempromosi scam kepada kawan-kawan dan keluarga terdekat.
19. Bila sudah ketagih dedak, tamak dah menguasai diri mula lah nak gadai tanah di kampung, dah jual rantai cincin berlian mak, keluarkan semua duit simpanan Tabung Haji.
20. … bila ayam dah gemuk. Musang pun makan semua. Habis semua licin dan langsung tak tinggal apa-apa.
21. Ini yang peribahasa Melayu sebut - orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang.
22. Investment scam pandai memanipulasi perasaan tamak manusia yang suka janji-janji untung besar dalam masa singkat dan (kononnya) tidak boleh rugi. Tetapi hakikatnya, sampai masanya pasti rugi 100%.
KITARAN EKONOMI & BISNES
23. Ambil masa lihat sekeliling.
24. Tengok peniaga tepi jalan. Jual air tebu. Jual cendol. Jual aiskrim. Hari panas, laku keras. Hari hujan, jualan sedikit. Itulah aturan kehidupan. Ada masa hujan, ada masa panas. Supaya semua orang yang jual payung pun merasa rezeki.
25. Tapi engkau… ekonomi tengah ok nak untung. Ekonomi tak ok, langsung tak mahu terima kerugian. Eh, boleh pula nak langgar hukum alam.
26. Bila fikir balik, memang patut pun kena scam. Dah tamak sangat.
MENYIMPAN, MELABUR & SCAM
27. Melabur lain, menyimpan lain.
28. Menyimpan supaya modal selamat dan dapat pulangan yang konsisten dari dividen.
29. Melabur pula bertujuan supaya dapat untung lebih tinggi tetapi modal tidak dijamin selamat.
30. Kalau tidak mahu rugi duit, simpan sahaja. Letak dalam produk simpanan. Simpan di akaun simpanan bank. Simpan di ASB. Simpan di Tabung Haji. Simpan di KWSP. Letak duit dalam tempat-tempat ini susah nak rugi. Namun jangan lah berharap dapat untung sampai 10%. Dapat 5% pun dah ok sangat.
31. Simpanan dah banyak, baru cari tempat pelaburan. Takut-takut tak cukup jika sekadar berharap simpanan di ASB, Tabung Haji, KWSP untuk tujuan persaraan.
32. Jadi, bila nak melabur bukannya keluarkan duit simpanan dan letak semuanya dalam satu pelaburan. Bina portfolio berdasarkan asset allocation yang bersesuaian supaya matlamat pelaburan tercapai.
33. Dalam asset allocation itu ada bahagian simpanan. Ada bahagian pelaburan.
34. Dengan cara ini, masa ekonomi ok bahagian pelaburan akan lebih untung dari bahagian simpanan. Dan semasa ekonomi tidak berapa ok, bahagian simpanan terus kekal beri untung dan menjadi “pelampung” bahagian pelaburan yang rugi.
35. Bila dah bina portfolio yang sewajarnya, maka kerugian yang berlaku itu cuma bersifat sementara.
36. Manakala, scam walaupun awal-awal itu dapat untung banyak tetapi akhirnya keuntungan itu habis semuanya termasuklah duit pokok sekali.
Satu habuk pun tak tinggal.
Penulis
Saya, Suzardi Maulan (Pakdi) seorang licensed financial planner, stock investment coach dan personal finance speaker.
Kerja saya membantu individu yang mahu retire dengan duit yang cukup di tangan »