Jangan Buat Hibah Takaful Sahaja
Tuan puan yang dihormati,
Baru-baru ini kecoh tentang isu hibah takaful. Secara mudahnya, kes itu bukan lah mencabar kesahihan peruntukan undang-undang mengenai hibah takaful. Sebaliknya Mahkamah tempoh hari hanya perintahkan harta si mati diserahkan kepada Pentadbir.
Kenapa jadi begitu? Baca lah coretan peguam yang ada.
Apa yang saya mahu tulis ialah sekiranya tuan puan telah terfikir untuk menghadiahkan (hibah) manfaat takaful kepada waris, maka ini adalah perkara lain yang perlu dibuat serentak.
Apakah empat (4) perkara itu?
Harta alih
Harta tidak alih
Hutang
Waris
Harta alih ialah harta yang boleh dialihkan seperti duit tunai, simpanan dalam ASB, Tabung Haji, saham, emas, kereta dan sewaktu dengannya.
Harta tidak alih pula ialah seperti tanah dan rumah.
Hutang ialah sebarang jenis hutang yang kita ada yang masih mempunyai baki.
Buat senarai dan juga simpan semua dokumen-dokumen yang membuktikan hakmilik dan keberhutangan tersebut. Letak dalam satu folder. Jangan dicatat secara online sahaja kerana takut-takut waris-waris tuan puan tidak boleh akses catatan itu di kemudian hari.
Orang lain, walaupun pasangan sendiri, bukan tahu 100% pasal harta tuan puan. Dia ingat masih ada simpanan 100 ribu, rupa-rupanya sudah pun diwakafkan. Maka rekod catatan itu dapat membantu.
Perihal hutang pula. Jangan catat hutang dengan institusi kewangan sahaja. Catat juga hutang yang dipinjam dari ibu bapa, adik beradik, kawan-kawan dan sebagainya.
Sekiranya tuan puan telah engage seorang perancang kewangan berlesen maka antara perkara pertama dia akan buat ialah menyediakan penyata nilai aset bersih (net worth statement) yang mengandungi tiga (3) perkara yang disebutkan di atas.
Seterusnya.
Senaraikan waris tuan puan.
Jika berkahwin lebih dari satu, pastikan perkahwinan kedua, ketiga atau keempat itu telah pun didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia. Jangan sorokkan perkahwinan tersebut. Berlaku lah adil.
Waris tuan puan adalah unik.
Secara asasnya waris faraid yang wajib itu ada 5 orang.
Bagi seorang bujang, warisnya ada dua orang sahaja. Ibu dan bapa.
Kemudian si bujang ini pun berkahwin, maka warisnya kini sudah menjadi 3 orang. Tambah seorang lagi iaitu pasangannya.
Setahun kemudian, warisnya bertambah jadi 4 orang. Iaitu apabila dapat anak perempuan contohnya.
Selepas anak perempuan itu sudah 2 tahun, bertambah lagi seorang. Dapat cahaya mata lelaki. Maka lengkap lah 5 waris yang utama.
Tetapi tidak semua orang mempunyai profil atau struktur faraid seperti ini.
Namun, dalam ruang yang terhad ini perlu difahami selain pasangan dan anak-anak kandung, ibu dan bapa juga merupakan waris utama. Tidak boleh dikeluarkan dari senarai waris dan juga tidak ditahan oleh waris yang lain.
Jadi, kenal pasti waris-waris tuan puan. Termasuklah jika ada waris yang sudah putus hubungan. Perlu diingat juga anak angkat itu bukan anak kandung. Buat salinan dokumen pengenalan diri untuk 5 waris yang utama ini.
Faraid ialah cara pembahagian harta selepas mati.
Hibah cara bahagi harta semasa hidup.
Wakaf ialah cara buat amal jariah semasa hidup atau selepas mati.
Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh semasa tempoh perkahwinan.
Wasi atau pentadbir ialah pengurus harta si mati.
Waris atau benefisiari adalah pihak yang menerima harta si mati.
Ini ialah antara terma asas yang perlu diketahui. Ianya saling melengkapi antara satu dengan yang lain.
Maka, semasa membuat hibah takaful fikir juga Persoalan seperti:
Kenapa hanya mahu hadiahkan manfaat takaful itu kepada seorang sahaja? Apa yang menyebababkan tidak beri kepada 4 waris lagi?
Hutang, siapa yang akan uruskan? Dari mana sumberi duit untuk bayar hutang itu kelak?
Harta yang belum dibahagikan ketika hidup, siapa pula yang akan uruskan?
Siapa yang layak jadi pengurus harta lepas aku mati nanti? Pengurus (wasi / pentadbir) dapat dilantik dari waris atau pun bukan waris. Yang penting sanggup turun naik pejabat dan juga amanah.
Tidak mahu berwakaf? Bekalan di sana kelak. Dapat diletakkan dalam wasiat sehingga 1/3.
Maka dari sini dapatlah difahami hibah sahaja tidak memadai. Mungkin dapat menyelesaikan sebahagian urusan tetapi yang pasti hibah tidak menyelesaikan semua urusan.
Kesemua perkara, wasiat, faraid, hibah, wakaf itu semua saling melengkapi. Justeru, amatlah tidak wajar jika berfikir dengan hibah sahaja maka urusan estate planning sudah selesainya semuanya.
Hakikatnya banyak lagi urusan lain perlu diselesaikan apabila seseorang itu telah meninggal dunia dan tidak dapat diselesaikan melalui hibah semata-mata.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan & pelaburan secara Islami.
Tempah sesi discovery bersama beliau di sini. Klik » Tempah sesi discovery