Semua orang mahu jadi kaya. Kalau malu nak mengaku pun, dia akan kata mahu hidup senang. Mahu kestabilan kewangan. Mahu hidup dengan selesa. Kebebasan kewangan.
Tetapi apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kebebasan kewangan ini?
Maka tuan puan semua perlu mempunyai maksud sendiri. Apakah itu kekayaan? Apakah itu kestabilan kewangan? Apa itu hidup selesa? Apa itu kebebasan kewangan?
Saya suka dengan definisi yang menyatakan kebebasan kewangan ini ialah apabila seseorang itu dapat hidup hanya dengan pendapatan pelaburan sahaja. Maksudnya, jika seseorang itu memerlukan pendapatan 60 ribu setahun, maka portfolio pelaburannya setiap tahun dapat memberikan dividen sebanyak itu.
Tapi ini cuma satu definisi sahaja. Ada banyak lagi.
Ada orang mahu hidup tanpa hutang. Jadi dia mahu habiskan bayar hutang cepat-cepat. Ada rumah dan kereta yang ada geran di tangan.
Mungkin juga dapat bercuti ke luar negara saban tahun.
Ada yang lain pula definisi kestabilan kewangannya pula ialah dapat mencapai semua perkara dalam bucket list.
Barangkali bagi sebahagian dari kita menganggap hidup selesa itu ialah berkemampuan membeli kereta kesukaannya tanpa perlu risau tidak cukup duit termasuklah kos penyelenggarannya sekali.
Jika mahu meninggalkan legasi untuk anak-anak? Setiap anak yang ditinggalkan kelak akan menerima sebuah rumah. Ini juga dapat menjadi impian kewangan.
Berkeinginan untuk mewakafkan harta sebagai sedekah jariah yang berkekalan sampai hari akhirat? Ya, ini pun takrifan kebebasan kewangan. Kumpul harta banyak-banyak sebagai pelaburan di “sana”.
Saya boleh senaraikan lagi macam-macam definisi kebebasan kewangan berdasarkan pengalaman saya berjumpa dengan pelbagai klien yang mendapatkan khidmat perancangan kewangan.
Macam kedua-dua almarhum bapa dan bapa mertua saya yang memilih untuk mendapat ketenangan dalam hidupnya dengan selepas penat bekerja di bandar, dapat balik ke kampung dan membina satu rumah persaraan. Kemudian ada kebun sayur, pokok buah-buah, kolam ikan, reban ayam dan itik. Bila anak cucu balik, ada kawasan yang luas untuk bermain (healing kata orang sekarang). Hutang piutang sudah habis. Bahagia seperti itulah yang dipilih.
Tidak ada yang salah. Tidak ada yang betul. Selagi mana definisi kebebasan kewangan yang kita pilih itu bukan perbuatan jenayah.
“Nak jadi kaya dengan menjadi kaki buli cyber, buat peras ugut dan mengambil rasuah.” Yang begini sah-sah haram.
Maka setelah kita memilih sendiri apa itu bahagia kita secara material - financial independence - itulah yang menjadi penanda aras (benchmark) kewangan. Dan bukan lagi menggunakan benchmark indeks saham, pulangan fixed deposit, kadar ASB, TH atau KWSP mahupun unit trust mana yang menang anugerah, hartanah gred A dan sebagainya.
Ambil sedikit masa untuk tetapkan definisi financial independence.
Sekarang, apakah yang diperlukan untuk mencapainya?
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.