Kenapa Simpan di ASB?
Tak seksi tak apa janji berfungsi
Amanah Saham Bumiputera (ASB) ialah unit amanah (unit trust).
Bezanya dengan unit trust yang lain ialah harganya tetap. Beli 1 ringgit, jual balik pun 1 ringgit. Selain itu ASB ialah untuk bumiputera. Modal pun rendah dapat bermula dengan hanya 10 ringgit.
Bila harganya sudah tetap maka keuntungannya cuma datang dari agihan pendapatan atau lebih mudah orang faham dengan istilah dividen.
(Bila nota ini sebut ASB ia termasuklah ASB2)
DISCLAIMER: Hanya anda yang tahu kedudukan kewangan diri sendiri. Pastikan anda mendapatkan nasihat kewangan dari trusted person seperti golongan profesional dan berlesen yang betul-betul tahu tentang situasi sebenar anda sebelum membuat apa-apa keputusan kewangan.
Keuntungan pelaburan datang dari dua cara.
Satu untung dari kenaikan harga.
Dua untung dari dividen.
Oleh kerana ASB harganya tetap, maka keuntungan kepada pelabur ialah hanya dari dividen. Disebabkan itu, ASB sering dianggap sebagai pelaburan yang selamat. Berisiko rendah.
Kenapa begitu?
Sebab harganya tidak jatuh. 1 ringgit tidak menjadi 90 sen, 80 sen mahupun 10 sen.
Sebab yang sama juga orang (ejen produk sebenarnya) selalu membandingkan ASB dengan pelaburan lain yang ada turun naik harga. Perbandingan ini dibuat lebih-lebih lagi apabila harga sesuatu pelaburan naik dengan banyak.
Namun bila harga jatuh mendadak tiba-tiba perbandingan itu semua hilang.
Dalam erti kata lain, semasa ekonomi baik pasti ada aset yang bagi keuntungan lebih dari ASB. Namun dalam keadaan ekonomi tidak baik, ASB adalah yang terbaik.
ASB sebagai pelaburan pertama
Jika difikirkan betul-betul tidak ada sebab untuk tidak mula menyimpan dalam ASB.
Seseorang itu tidak perlu jadi kaya dulu baru dapat melabur kerana modalnya cuma 10 ringgit. Beli ice matcha campur SST lagi mahal.
Dan modalnya terus kekal dan jika dividen dilaburkan semula maka lama kelamaan simpanan ASB dapat berganda.
Dari sudut pulangan dividen maka penanda aras yang wajar digunakan ialah kadar simpanan tetap bank 12 bulan. Selagi mana dividen yang diumumkan melebih kadar ini maka ASB telah pun melaksanakan mandat mereka dengan baik.
Oleh kerana pelaburan ini adalah tentang masa depan, rindu zaman dividen tahun 1990an adalah tidak berguna lagi.
Tak perlu bermula dengan pembiayaan
Menyimpan di ASB dapat dibuat secara tunai. Ada duit lebih, simpan. Nak simpan, lepas ada duit lebih. Lama-lama jadi bukit.
Atau, menyimpan melalui kaedah pembiayaan. Lulus pembiayaan dengan bank, maka terus jadi bukit. Cuma sebab guna duit bank, maka kalau pembiayaan itu 100 ribu maka bukan semua milik anda secara automatik. Kena buat kira-kira dulu.
Maksudnya di sini ada duit lebih sedikit je pun dah boleh menyimpan. Tak perlu tunggu kaya. Tetapi menyimpanlah sampai jadi kaya.
Zakat & ASB halal tak?
Isu halal haram - ASB sudah ada penasihat Shariahnya sendiri. Kaedah yang digunakan berbeza dengan kaedah yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Perihal zakat pula - zakat ASB sekarang dikira melalui kaedah harta al-mustaghallat secara khultah. Ini kaedah baru (2026). Pusat zakat negeri-negeri pun terima. Nak bagi dalil panjang lebar ini bukan nota Shariah.
DIpendekkan cerita pelabur cuma bayar zakat atas dividen yang diterima.
ASB sebagai pelampung
Hidup ini penuh gelora. Ada pasang surutnya.
ASB adalah pilihan yang sangat baik sebagai pelampung dalam melayari bahtera kehidupan.
Bila bahtera kehidupan sedang dilanda gelora besar, maka harga tetap ASB adalah satu yang mahal harganya.
Maka bagi anak muda, mulakan sahaja dahulu dengan ASB. Mudah. Tidak perlu pening kepala.
Sampai masanya bila bahtera sudah menjadi besar dan semakin besar, waktu itu sudah mampu memilih instrumen yang lain (beserta risikonya sekali).
Cuma tidak perlu lah pelampung itu dibuang seolah-olah tidak berguna langsung hanya kerana tertarik dengan janji untung yang lebih besar.
Pesanan Penaja
Beli emas tanpa perlu menyimpannya secara fizikal dengan harga lebih murah, selamat dan patuh Shariah. Mulakan dengan membuka akaun Bursa Gold Dinar (BGD), platform jual beli emas di Bursa Malaysia.
Download menerusi Apple Store atau Google Play.
Setelah selesai membuka akaun, masukkan kod SUZAR13340 dan dapatkan emas percuma dari BGD. Terma dan syarat terpakai.
Tentang Penulis
Salam. Panggil saya Pakdi.
Saya membantu orang melabur bila simpanan ASB ASB2 sudah penuh ... See more

