“Pakdi, saya ditawarkan pelaburan yang dapat untung, hibah setiap bulan. Ok tak?”
Ustaz masuk.
Ketua kampung masuk.
Bakal mertua masuk.
JKKKKKK masuk.
Ketua jabatan pun masuk.
Siapa yang tak goyang kan kalau circle sebegitu menyertai skim pelaburan sebegitu. Takkan lah diorang tak tahu…
Ada beza rugi duit sebab market performance vs investment scam.
Kerugian disebabkan pasaran turun naik, ada potensi untuk pulih semula. Ini selalunya bersifat sementara.
Bila ada rugi waktu pasaran jatuh istilahnya ialah unrealized loss. Jika harga tak naik balik, cut loss masih dapat apa nilai pasaran waktu jual tu.
Tetapi bila sekali dah masuk investment scam, ucapkanlah innalillah.
Salam akhir, salam yang teristimewa.
Berpisah sudah segalanya. Yang tinggal hanyalah kenangan. Diiring doa dan air mata. Yang pergi takkan kembali lagi.
Bagaimana modus operandi scammer ? Mereka akan kompang satu dunia yang skim peleburan mereka itu sebagai selamat, tidak rugi dan sentiasa untung.
ASB, Tabung Haji dan KWSP setiap tahun bagi dividen dan selamat. Scam juga? Begini. Produk jenis ini selamat disebabkan ditaja oleh kerajaan. Supaya semua orang di Malaysia termasuklah golongan B40 ada tempat menyimpan dan melabur. Walaupun begitu, kadar keuntungannya rendah berbanding pelaburan lain.
Sebenarnya risiko itu ada, cuma tidak secara langsung kepada pendeposit.
Saham. Harganya ada turun dan naik. Dividen pun kadarnya tidak tetap. Kalau buat pelaburan saham mesti gunakan entiti berlesen seperti syarikat broker.
Unit trust. Sama macam saham. Cuma nak buka akaun kena melalui unit trust management company, iaitu satu entiti berlesen.
Private mandate. Sama macam saham dan unit trust. Cuma kena buka akaun dengan asset management company.
Yang buat scam saham, unit trust dan private mandate ini mereka menawarkan fixed return, syarikatnya tidak berlesen dan cuba klon entiti berlesen.
Preference shares. Preference shares ini adalah cara syarikat nak dapatkan modal berniaga. Preference shares atau saham keutamaan ini ada ciri memberikan dividen tetap. Namun bersyarat. Tertakluk kepada keuntungan syarikat. Kalau tidak ada untung, maka tidak ada dividen.
Preferences shares ini sepatutnya dibuka kepada sophisticated investor, kena berdaftar dan hanya dapat dipasarkan dalam tempoh yang dibenarkan sahaja tetapi sebab ada sedikit sebanyak loopholes dalam perundangan menyebabkan dapat berlaku scam.
Apa yang scammer buat? Konon-konon buat syarikat yang nak modal berniaga untuk cari pelabur lalu mereka pun guna preference shares. Sekalian scammer pun highlight pasal dividen tetap tetapi tak bercerita pasal keperluan subject to company profit or cashflow. Nak claim tak ada risiko punya pasal.
Bercakap pasal loopholes, maka yang paling mudah menarik ramai orang ialah emas.
Emas adalah komoditi. Harganya turun dan naik. Ada cycle. Emas tidak kalis inflasi dalam tempoh yang pendek. Tidak beri sebarang dividen. Ada spread yang kena diambil kira. Kalau beli emas, mesti dapat emas.
Scam emas datang dalam pelbagai bentuk. Hari ini kantoi. Esok luasa datang lagi. Ciri-ciri scam emas ini ialah bila ejen-ejen scammer ini berlebih-lebihan bercerita pasal keburukan duit fiat (sedangkan komisyen dalam duit fiat juga), petik ayat Quran dan hadis pasal emas tidak ikut disiplin ilmu agama yang sepatutnya dan yang paling utama - menyatakan harga emas sentiasa naik.
Bila ‘orang emas’ tak rasa emas pun sama turun naik macam saham, jadi mereka pun mudah ditipu scammer.
Hartanah. Jual beli ambil masa. Banyak proses yang terlibat. Dari urusan dengan bank sampailah ke urusan pejabat tanah. Kalau tanah leasehold lagi lama.
Scam dalam hartanah ada dalam bentuk guaranteed rental return. Sekali lagi scammer suka letak perkataan “dijamin” untung untuk menipu pelabur pasal risiko rugi. Sedangkan hari ini penyewa keluar, belum tentu bulan depan dah ada penyewa baru.
Selain itu kewujudan lot lidi. Beli tanah mesti pastikan boleh pecah geran. Kita berurusan dengan penjual yang namanya dalam geran. Bukannya dia jual tanah orang lain.
Pasaran hadapan, derivatif atau yang paling popular di Malaysia - FCPO. Pasaran derivatif memang cepat buat untung. Market tengah naik ke tengah turun ke dua-dua dapat buat duit. Tapi rugi pun sama cepat. Aneh kalau ada yang claim boleh sentiasa untung trade futures.
Forex. Majoriti yang ada dalam internet itu scam. Noktah.
Cryptocurrency. Matawang kripto ni dia punya laju sama dah macam derivatif. Kalau ada yang claim boleh sentiasa untung itu sah-sah scammer.
Pelaburan scam akan gunakan istilah baru dan boombastik untuk mengaburi modus operandi mereka. Hedging. Arbitrage. Spread. Staking. Copy trading. Robo trading. AI trading dan segala istilah yang nampak canggih.
Selain itu pelaburan scam juga wujud kononnya nak buat projek tanam jagung, ternak ayam, bela kambing, rumpai laut, sarang burung dan macam-macam lagi lah perniagaan konvesional yang lain. Mereka kata ini bukan beli saham bursa, FCPO, emas, kripto tetapi projek perniagaan.
Sekali lagi cara scammer nak menipu pelabur ialah dengan menyatakan projek mereka ini tidak akan rugi dan ada untung tetap. Ada backup dari kerajaan negeri lah. Menteri itu ini lah. GLC pun join sekali. Syarikat bertaraf international dan lain-lain lagi.
Di Malaysia, kita dah ada platform yang berlesen untuk aktiviti perniagaan macam ini seperti equity crowdfunding (ECF) atau peer to peer (P2P) financing.
Investment scam bukan benda baru. Pak Man Telo. Skim piramid. Skim Ponzi. Cuma pelanduk sahaja yang selalu lupakan jerat.
Pelaburan Zero Risk
Tak ada.
Yilek.
Meiyou.
Orak eneng.
Semua pelaburan ada risiko. Yang membezakan ialah sama ada risiko nak rugi itu tinggi atau rendah sahaja.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan licensed financial planner.