Duit bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup. Tetapi banyak benda penting atas dunia ini memerlukan duit. Untuk mempunyai tempat berteduh, kena ada duit. Makan, duit. Minum pun duit. Nak belajar pun perlu ada wang.
Walaupun begitu kita tidak perlu bertuhankan duit. Duit hanya alat. Jadi, menjadi kaya tidak sepatutnya menjadi matlamat utama kita. Antara matlamat yang sewajarnya ialah:
Peace of mind.
Kekal tenang.
Gembira.
Tidak serabut.
Bahagia.
Bagaimana kita dapat hidup dengan hati tenang jika tidak ada makanan atas meja dapat disajikan kepada keluarga, sewa rumah sudah tertunggak, keperluan sekolah anak tidak dapat dipenuhi. Maka pengurusan kewangan yang baik adalah salah satu cara untuk mencapainya.
Pergi haji pada usia muda. Ibadah haji adalah ibadah fizikal. Bermula dari wukuf di padang Arafah, berehat di Muzdalifah, melontar di Mina sehinggalah menunaikan tawaf dan saie di Mekah semula. Semuanya perlu tenaga yang banyak untuk berjalan. Hari ini kos pergi haji telah pun mencecah lebih 30 ribu ringgit.
Mempunyai tempat berteduh yang selesa. Rumah. Beli boleh. Menyewa pun boleh. Apa-apa pilihan kita sekali pun keduanya tetap memerlukan sejumlah wang ringgit. Lebih-lebih lagi apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Pendidikan yang baik. Tiada pendidikan yang percuma. Semua berbayar. Baik untuk menghantar anak masuk universiti mahupun diri kita sendiri supaya menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran setelah di alam pekerjaan.
Elak burnout. Emosi yang penat ialah benar. Fizikal nampak sihat tetapi mental belum tentu. Maka bila sampai masanya kita perlu recharge semula. Berehat. Berjalan-jalan. Berhenti kerja untuk beberapa bulan. Pergi bercuti pun banyak modalnya.
Menolong orang miskin. Yang wajib itu zakat. Manakala yang sunat itu sedekah. Membantu orang yang lebih susah itu dapat mendatang kegembiraan. Tangan yang memberi itu jauh lebih baik dari yang menerima.
Mewakafkan harta. Dah tua buat apa nak nak ada simpanan berjuta-juta? Maka di situlah datangnya tuntutan berwakaf. Apabila kita tidak lagi memerlukan harta maka apa yang kita ada diwakafkan. Wakaf untuk sekolah, masjid, rumah anak yatim malah untuk keluarga sendiri. Tinggalkan sebahagian yang perlu sahaja untuk meneruskan sisa kehidupan.
Waris tidak meminta-minta. Ini disebut oleh Nabi Muhammad saw. Apabila sahabat ingin berwasiat maka Nabi kita berpesan supaya meninggalkan waris dalam keadaan cukup adalah lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup. Jadi, tidak timbul isu “mati awal” dan tidak “merasa hasil dunia” kerana jika umur panjang, kita dapat. Umur tidak panjang pun kita tetap dapat di sana.
Dan macam-macam lagi. Saya hanya bagi beberapa contoh sahaja. Tuan puan dapat memikirkan perkara yang lain.
Apakah perkara yang memberikan kegembiraan dan ketenangan? Itulah yang menjadi matlamat utama kita dan rancang kewangan dengan baik supaya perkara itu dapat dicapai.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.