Pada bulan Disember 2019, jika baca komen-komen di Facebook, pasti terbaca amaran pasal tahun 2020 tahun ekonomi tak bagus.
Pada bulan Disember 2020, jika baca komen-komen di Twitter, juga terbaca pasal ekonomi meleset 2021.
Disember 2021, pun sama. Tak kisahlah di media sosial yang mana.
Kini Disember 2022, saya buka media sosial dan masih ada yang kata macam itu. Ekonomi gawat 2023, bersedialah!
Sekiranya tiap-tiap tahun gawat. Bila tahun yang ok nya?
Sekarang ini apa yang perlu kita faham ialah buka balik al-Quran, baca semula surah Yusuf. Tentang mimpi Raja Mesir. Ayat 47 - 49.
Dari situ kita dapat faham ‘kemarau ekonomi’ adalah satu kitaran ekonomi semula jadi. Ada masa ok, ada masa tidak ok. Apa yang pasti hal-hal makro (ringgit jatuh, kadar faedah naik, siapa Menteri Kewangan) sebegitu adalah di luar kawalan kita.
Pengajaran yang dapat diambil ialah fokus kepada apa yang kita dapat kawal.
Dalam kisah Mimpi Raja Mesir, Nabi Yusuf menyimpan dahulu hasil tanaman sebanyaknya (perkara yang dapat dikawal) dan selebihnya barulah dimakan. Nabi Yusuf tidak memikirkan bagaimana nak menghalang musim kemarau (benda luar kawalan).
Setiap dari kita berbeza. Ada yang sudah mempunyai simpanan, ada yang belum. Ada yang sudah ada takaful, ada yang belum. Ada yang sudah mempunyai wasiat, ada yang belum. Dan seterusnya.
Pilih satu, dua perkara sahaja untuk dicapai (dari sudut kewangan) pada tahun depan. Apakah benda paling utama nak diselesaikan, mengikut situasi diri sendiri.
Misalnya, tahun 2023 mahu kurangkan hutang kad kredit. Tulis matlamat tersebut atas kertas. Fikirkan banyak mana hutang kad kredit yang mahu dilangsaikan sepanjang tahun. Tulis bagaimana nak mencapainya. Dan bayangkan, jika sasaran itu tercapai, apa yang kita rasa?
Contoh lain. Nak melabur dalam Amanah Saham Bumiputera pada 2023. Tulis berapa banyak simpanan yang mahu dicapai. Fikirkan cara bagaimana nak mencapainya. Bayangkan, sasaran untuk menyimpan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) tercapai, apa yang kita rasa?
Simpanan ini sebenarnya serampang dua mata. Kita tidak menyimpan untuk menghadapi kegawatan ekonomi sahaja, tetapi menyimpan juga adalah untuk jadi kaya. Macam simpan duit untuk beli saham supaya dapat dividen masa pencen esok.
Dua ini contoh sahaja. Ada banyak lagi perkara yang dapat difikirkan. Pilih sendiri apa yang sebenarnya tuan puan mahu capai.
Tak perlu banyak. Satu pun memadai. Dua masih OK. Jika lebih dari dua, takut-takut apa yang dikejar tidak dapat, apa yang dikendong berciciran. Pilih apa yang utama untuk kita pada masa sekarang.
Inilah yang penting. Hal ehwal ekonomi diri sendiri.
Masalah telur, ada Menteri dan kementeriannya.
Masalah subsidi, ada Menteri dan kementeriannya.
Masalah ringgit, ada Menteri dan kementeriannya.
Tapi tidak ada Kementerian Perancangan Kewangan Peribadi. Yang tugasnya tengok harta dan hutang kita. Yang kerjanya semak pendapatan dan perbelanjaan bulanan kita.
Justeru, kita lah yang perlu buat kementerian itu sendiri dan lantik diri sendiri menjadi Menterinya. Menteri itu nanti bertanggungjawab atas diri sendiri dan tanggungannya sahaja. (Ya, tidak ada siapa pun yang peduli situasi kewangan kita melainkan kita sendiri).
Bahasa korporatnya sebut Key Performance Indikator (KPI). (Sambil bayang bonus)
Bahasa motivasinya what is your dream? (Sambil pasang lagu motiviasi)
Tak kisahlah apa istilahnya, KPI, your dream, your life goal. Itu lah perkara yang penting untuk dibuat pada tahun hadapan.
Apabila sudah mempunyai sasaran tersebut, menjelang Disember tahun depan, semak KPI yang telah ditetapkan. Sudah tercapai atau belum?
Gawat atau tidak, kita tentukan sendiri. Berdasarkan situasi diri kita sendiri. Bukan apa yang orang lain rasa-rasa.
Penulis
Pakdi merupakan Licensed Financial Planner & stock advisor.