Semasa saya masih rajin anjur kelas saham sendiri, ramai yang tanya pasal kelas orang lain.
“Kelas ini bagus tak?”
”Kelas itu bagus tak?”
Saya tak dapat jawab soalan-soalan itu sebab saya sendiri menganjurkan kelas saham pada waktu tersebut. Kalau saya beri pandangan kurang menyenangkan, sudah tentu dapat mewujudkan salah faham di kemudian hari kerana ada conflict of interest.
Hari ini banyak “pelaburan” yang wujud.
Macam-macam nama. Macam-macam jenis.
Tawaran pelaburan juga dah senang nak dapat - hanya di hujung jari. Tak cari pun iklan keluar. Ramai dengan suka rela berkongsi maklumat / tawaran pelaburan di media sosial. Tak minta pun ada yang masukkan dalam group. Ada pelaburan yang sah, dan sudah tentu ada pelaburan yang tidak sah.
Jadi sebagai pelabur kita perlu tahu bagaimana untuk menilai sesuatu pelaburan. Apa yang berpotensi untuk berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi. Jika kita tidak faham, maka lebih baik jangan melabur di situ.
Semua orang melabur untuk mendapat keuntungan. Oleh itu, pasti ada pihak yang menunjukkan projection-projection keuntungan.
“Pelaburan A dapat beri keuntungan 15% sebulan.”
”Pelaburan B, jika buat begitu begini, nanti dapat untung 50 ribu.”
Dan seterusnya.
Pelabur yang bijak dapat faham bagaimana angka keuntungan seperti itu diperoleh.
Adakah projection yang dibuat itu berpaksi kepada asas pelaburan yang wajar atau sekadar memetik angka dari langit dan imaginasi liar semata-mata?
Memahami penyata kewangan adalah langkah pertama untuk memahami sesuatu pelaburan. Dari situ kita dapat menilai sendiri adakah projection keuntungan yang dibuat masuk akal atau pun tidak.
Adalah tidak bijak bagi seorang pelabur menerima sesuatu projection keuntungan itu bulat-bulat. Lebih-lebih yang menceritakan tentang projection tersebut ialah penjual / ejen pelaburan yang memperoleh komisyen dari setiap jualan.
Don’t ask the barber whether you need a haircut.
Warren Buffett (1994)
Mintalah individu yang mempromosikan sesuatu pelaburan itu membuat disclosure tentang financial interest yang ada.
Ini membolehkan kalian tahu potensi konflik yang ada dalam nasihat - atau lebih tepat sales pitch - pelaburan.
“Kenapa saya perlu promote produk pelaburan orang lain, sedangkan saya ada produk pelaburan sendiri?”
Begitulah yang dapat berlaku.
Mereka yang mempunyai financial interest dalam sesuatu produk pelaburan yang dipromosi cenderung memberikan harapan palsu. Semua yang diceritakan pasti yang baik-baik belaka. Yang tidak baik, disorokkan - atau cari sendiri.
Selain itu, jangan mudah terpedaya dengan title yang ditunjukkan, testimonial palsu dan self-claim pakar dalam apa-apa jual bentuk pelaburan.
Penulis
Pakdi merupakan Licensed Financial Planner & stock advisor.