1. Ada beberapa perkara yang penting dalam menguruskan duit ni. Satu perkara yang tak ramai yang bercerita ialah tentang membina ekuiti. Apa itu ekuiti? Penjelasan paling mudah ialah bila kita beli rumah dan buat pembiayaan bank:
Harga rumah: 500 ribu
Pembiayaan bank: 450 ribu
Ekuiti: 50 ribu
Ya, nota kali ini adalah bercerita tentang ekuiti - claim of ownership, yang ini dan bukannya tentang ekuiti pasaran saham. Ekuiti juga dapat disebut sebagai net worth atau nilai aset bersih.
2. Rumah yang kita beli dengan cara berhutang, bukan terus 100% milik kita. Ada pihak lain - dalam situasi ini bank, mempunyai kepentingan juga dalam rumah tersebut. Sebab itu bila kita tak bayar hutang rumah, bank bagi notis peringatan. Sehinggakan bank dapat bertindak untuk melelong rumah yang kita dah beli. Melainkan dah habis bayar hutang rumah, ketika itu barulah kita sudah memilik ekuiti sebanyak 100% dalam rumah tersebut.
3. Ekuiti ini tidak melibatkan rumah sahaja. Saya cuma bagi contoh yang mudah untuk faham. Melabur menerusi pembiayaan ASB pun ada pengiraan ekuiti macam ini. Buat pembiayaan 200 ribu bukan bermaksud ekuiti dalam ASB juga terus ada 200 ribu. Siapa yang batalkan selepas 2 tahun, tak banyak pun ‘ekuiti’ yang dia terima. Istilah yang diguna pakai sahaja yang berbeza-beza.
4. Istilah apa pun yang kita pakai, apa yang penting ialah faham tentang konsep ekuiti. Ini kerana apa yang penting ialah kita membina ekuiti untuk kegunaan masa depan dan bukannya terlalu lama ‘survey’ satu-satu produk pelaburan. ASB bagus ke, emas ke, saham ke, hartanah dan seterusnya.
5. Jadi, individu yang ada rumah 1 juta ringgit dan 2 buah kereta berharga 150 ribu satu, tidak secara automatik lebih kaya dengan individu yang mempunyai simpanan ASB tunai 300 ribu ringgit tetapi hanya menyewa rumah dan menaiki e-hailing ke sana sini. Dari mata kasar, kelihatan individu yang ada rumah dan kereta sebegitu adalah ‘orang kaya’ tetapi hakikatnya sebenar hanya diketahui lepas kita kira ekuitinya berapa.
6. Ekuiti juga ada perkaitan dengan kecairan. Katakan kita melabur dalam perniagaan kawan jual sambal dendeng. Pelaburan kita adalah 250 ribu. Walaupun kita mempunyai ekuiti sebanyak itu dalam perniagaan kawan, belum tentu kita boleh dapat balik modal pelaburan itu jika memerlukan duit dalam masa terdekat. Ini kerana ekuiti tadi telah pun bertukar menjadi bentuk lain seperti mesin serta barang mentah tidak lagi dalam bentuk tunai.
7. Bercakap pasal kecairan, sudah tentu yang paling cair adalah duit dalam bank. Ekuiti kita 100%. Dapat dikeluarkan dengan mudah. Namun jika dibiarkan sahaja maka lama-lama kuasa membeli kita akan berkurangan dengan banyak akibat inflasi.
8. Bagaimana kita dapat membina ekuiti? Cara yang sebaiknya ialah dengan konsisten menyimpan dan melabur. Fikir dan ikhtiar bagaimana dapat menambah jumlah simpanan setiap tahun dan bukannya sibuk mencari-cari pelaburan yang paling untung. Seterusnya baru lah berusaha untuk melangsaikan hutang dengan lebih cepat.
9. Apakah produk terbaik untuk membina ekuiti? Produk-produk pelaburan yang ada itu tidak lebih dari kenderaan sahaja. Apa yang penting sampai ke destinasi. Pilihlah kenderaan yang bersesuaian. Secara umumnya perlu ada kombinasi produk pelaburan macam ASB, TH dan juga pelaburan yang lebih berisiko. Elakkan mempunyai bias terhadapat 1 produk sahaja. Sekarang ini ramai ejen pemasaran sesuatu produk suka bergaduh dan mendakwa produk mereka adalah yang terbaik hanya untuk mengejar komisyen. Dapat upah jualan itu tidak salah, tetapi bila berlebih-lebihan sampai ajar buat personal loan, keluarkan semua duit dalam bank, ASB atau TH, paksa mak ayah adik beradik masuk, maka itu dah jadi tidak betul.
10. Ok, sebelum ada yang komen. Sedekah dan wakaf adalah antara ekuiti yang kita bina untuk akhirat. Namun sebelum sampai ke alam lagi satu, kita perlu hidup sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Membina ekuiti adalah salah satu dari tugas seorang khalifah.
11. Dalam kita membina ekuiti, maka ingatlah dua perkara:
(i) Ekuiti yang dibina pada hari ini sangat berguna bila dah tak mahu bekerja lagi di masa hadapan. Kita akan jual apa yang kita miliki ini sedikit demi sedikit sampai lah habis. Tetapi jika memang berniat mahu bekerja sampai usia 80-90 tahun, mungkin keperluan membina ekuiti ini jadi tidak berapa penting.
(ii) Bukan semua aset menghasilkan ekuiti yang sama. Ada yang cair, ada yang kurang cair. Untuk keperluan hidup dalam jangka masa yang lebih pendek (ubah suai rumah, melancong, makan minum dll) lagi cair aset tersebut, maka ia lebih berguna. Justeru, hal ini juga perlu ada keseimbangan antara ekuiti jangka pendek dan panjang.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.