Macam mana nak melabur ni?
Saya mahu kongsi bagaimana dapat memulakan pelaburan. Mungkin ada yang terfikir nak keluarkan sebahagian simpanan dia supaya dapat untung lebih. Atau mungkin semua simpanan di ASB, TH dan tempat-tempat macam itu semua dah cecah beratus ribu dan mahu pelbagaikan (diversify).
Barangkali ada yang tertanya, nak melabur ni mesti kena pakai remisier ke, lantik konsultan ke, hire financial planner ke? Tak boleh melabur sendiri? Jadi saya kongsikan panduan-panduan asas.
1. Pertama sekali, ingat perkara ini - pelaburan (investment) ialah tempat nak beranakkan duit untuk pakai 10 tahun lagi. Simpanan (savings) pula adalah tempat nak pakai duit esok lusa.
Jadi dalam bab modal ni kalau mahu pakai duit esok lusa tidak payah susah-susah melabur. Simpan sahaja. Pelaburan ini kita tak dapat nak tahu dengan tepat, untung ke rugi dalam jangka waktu pendek . Tetapi nak gandakan duit untuk pakai 10 tahun lagi tidak ada masalah.
2. Pelaburan perlu kepada komitmen. Masa. Ini adalah yang paling utama lepas modal. Tanya diri sendiri balik. Sejauh mana komitmen yang dapat beri untuk urus pelaburan sendiri. Siapa yang rasa diri dia dapat bagi komitmen yang tinggi, urus lah pelaburan secara do-it-yourself (DIY).
3. Saya mulakan dengan pelaburan secara DIY dulu. Kelebihan yang paling utama ialah kos pelaburan dapat dijimatkan lebih-lebih lagi hari ini dah dapat buat pelaburan secara online.
Contohnya, pelaburan unit amanah melalui skim pelaburan ahli KWSP. Caj jualannya ialah 3% jika melalui ejen / konsultan unit amanah. Tapi kalau buat sendiri secara online, cuma 0.5% sahaja. Perbezaan 2.5% yang dapat dijimatkan itu adalah jumlah yang besar.
4. Pelabur DIY kena banyak membaca. Kena baca apa tu? Yang utama ialah buku-buku pelaburan. Kemudian, laporan penyelidikan pelaburan. Dan juga berita, artikel, op-ed pasal ekonomi semasa.
Macam suasana ekonomi sekarang, apa akan jadi kalau US naikkan kadar faedah? Apa pula akan jadi kalau US turunkan kadar faedah? Kena tahu jawapannya.
5. Selain itu, kena pergi kelas. Bermula dengan kelas asas pelaburan hinggalah ke kelas yang lebih advanced. Kemudian, rajin hadir ke seminar yang berkongsi perkembangan semasa seperti sesi market outlook.
6. Selepas sudah ada ilmu untuk bermula, maka pelabur perlu membeli sendiri semua pelaburan (saham, ETF, unit trust, private mandate dll) yang bersesuaian. Seterusnya memantau portfolio pelaburan itu sendiri.
7. Pastikan ada catatan tentang pelaburan yang kita buat sendiri tu. Baru lah tidak jadi pelaburan syok sendiri. Kenapa kita beli pelaburan tersebut? Apa yang kita nak capai? Berapa dividen yang diterima selama ni? Lepas campur untung rugi, adakah ada keuntungan melabur?
8. Kalau rasa baca buku tak cukup, atau pergi kelas / seminar secara beramai-ramai pun macam tak cukup lagi, maka dapatkan sesi private coaching. Sesi bersemuka 1-on-1. Baca buku, kelas dan seminar ni bagus untuk ilmu pengetahuan dan juga untuk tahu isu semasa, tapi belum tentu dapat kemahiran yang diperlukan untuk melabur.
Pelaburan bukan sekadar tahu nak beli apa, tapi juga kena tahu berapa banyak nak beli. Bila mahu jual. Kalau market jatuh, kena panik ke macam mana? Ini dipanggil bab pengurusan pelaburan (investment management).
Ha, dah rasa penat ke bila baca ni? Ini antara komitmen yang diperlukan. Kalau dah penat baca sebab terasa banyak benda kena buat, mungkin tak sesuai jadi pelabur DIY.
9. Kalau tak ada masa nak buat itu semua, maka pilihannya ialah kena cari penasihat kewangan. Istilah ‘penasihat kewangan’ yang saya guna dalam nota ini adalah secara umum sahaja.
10. Jadi, siapa penasihat kewangan yang ada?
Penasihat kewangan yang jual masa dia untuk beri nasihat, panduan dan tunjuk ajar kepada klien. Jadi, siapa nak jadi klien, kena bayar untuk masa. Mungkin ikut jam, ikut projek dan juga berdasarkan yuran tahunan.
Penasihat kewangan yang jual produk. Jadi, dia dapat komisyen setiap kali klien dia beli produk yang dicadangkan. Maka penasihat jenis ini boleh jadi pushy sebab kalau klien tidak jadi beli, maka tidak ada komisyen.
Ramai yang jadi penasihat kewangan yang jual produk. Beri nasihat kewangan percuma baik semasa sesi minum kopi atau di media sosial, tetapi akhirnya akan jual produk. (No such thing as a free lunch okay!)
Berbeza dengan penasihat kewangan yang berasaskan masa, sama ada beli atau tidak beli produk, yuran nasihat kewangan telah pun dibayar.Penasihat kewangan yang menjaga aset klien. Maka, penasihat jenis ini dibayar berdasarkan saiz aset klien yang dia jaga. Lazimnya sesui untuk klien yang mempunyai aset yang besar. Sekiranya saiz aset klien bertambah sebab pasaran elok, maka advisory fee yang dia terima bertambah. Jika, pasaran tidak elok, maka advisory fee berkurangan.
Dari sudut praktisnya, ada penasihat kewangan yang menggabungkan dua atau lebih cara untuk caj klien mereka. Penasihat kewangan yang telah caj ikut masa atau saiz aset klien dalam banyak situasi dapat waive caj jualan.
11. Secara ringkas, penasihat kewangan yang dibayar mengikut masa dapat memberikan nasihat yang paling objektif dan bebas. Manakala, penasihat kewangan berasaskan komisyen sesuai untuk pelabur yang sudah tahu keperluan kewangannya sendiri. Seterusnya, penasihat yang menjaga aset klien pula dapat menguruskan pelaksanaan perancangan pelaburan secara lebih efektif.
12. Sama ada menjadi pelabur DIY atau menggunakan penasihat kewangan, kedua-dua cara ini tertakluk kepada pulangan pasaran (market return). Tidak ada strategi yang akan buat duit setiap tahun. Pasti ada masa yang mengalami kerugian. Hanya scammer pelaburan yang menjanjikan untung yang tinggi dalam masa yang cepat.
13. Cara yang betul ialah menggunakan strategi untuk elak rugi dulu dan bukannya terus untuk dapat untung paling tinggi dulu. Ramai pelabur baru membuat kesilapan ini. Jika kita dapat kawal kerugian, maka lambat laun untung pasti datang.
14. Mustahil untuk tidak rugi dan bercita-cita untuk sentiasa buy low and sell high setiap waktu (yang lebih kerap berlaku ialah buy high sell low). Jadi apa-apa strategi yang dibuat perlulah mempunyai elemen asset allocation, rebalancing - ringgit cost averaging.
15. Seterusnya, keep it simple stupid. Jika ada istilah hedging, leverage, margin dan istilah sewaktu dengannya dalam sesuatu tawaran pelaburan, maka lupakan sahaja.
Tentang
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, stock investment coach dan personal finance speaker. Beliau menguruskan pelaburan klien yang telah memenuhkan ASB mereka. Klik dan baca tentang Pakdi di sini.