Dalam nota yang lepas, saya ada menulis tentang perbezaan yang dapat dicapai antara individu yang mengejar Return on Investment (ROI) dengan individu yang fokus menggandakan nilai simpanan. Dalam bahasa lebih teknikal, menguruskan aliran tunai (cashflow). Baca:
Cashflow adalah perkara paling penting semasa urus duit. Cashflow ibarat jantung dalam badan kita. Alirannya perlu lancar untuk memastikan banyak urusan kewangan kita terjaga dengan baik.
Dua Situasi Cashflow
Kita dapat mengetahui situasi cashflow dengan mengira berapakah duit masuk dan berapa banyak yang dibelanjakan sebulan. Lazimnya kita mengira duit keluar masuk ini secara bulanan dan tahunan. Ada dua situasi yang dapat berlaku:
(a) Cashflow positif iaitu pendapatan lebih besar dari perbelanjaan. Situasi ini membolehkan seseorang itu membina tabung kecemasan, mendapatkan perlindungan takaful secukupnya, membuat pelaburan dan lain-lain lagi.
(a) Cashflow negatif iaitu perbelanjaan lebih besar dari pendapatan. Apabila situasi ini tidak dibetulkan segera, maka seseorang itu mula mengumpul hutang.
Mula Urus Cashflow Dari Sekarang
Berbanding return on investment (ROI), kita dapat mengawal aliran tunai. Nilai pelaburan pula sentiasa turun dan naik.
Justeru, inilah perkara yang kita sepatutnya lebih fokus berbanding mencari-cari pelaburan terbaik mahupun strategi pelaburan yang kononnya boleh dapat ROI yang boombastic.
It's in the nature of stock markets to go way down from time to time. There's no system to avoid bad markets. You can't do it unless you try to time the market, which is a seriously dumb thing to do. Conservative investing with steady savings without expecting miracles is the way to go. - Charlie Munger
Jadi bagaimana caranya untuk mula urus cashflow secara bijak dan bersistematik?
1. Kenal pasti punca pendapatan
Secara umumnya ada dua jenis individu. Pertama, individu yang makan gaji. Maka pendapatannya lebih tetap. Selain gaji, kenal pasti juga sekiranya ada pendapatan lain seperti membuat bisnes secara part-time.
Kedua, individu yang bekerja sendiri. Lazimnya pendapatan bulanannya tidak tetap, ada naik dan turun.
Sekiranya ada pendapatan dari hasil sewa, maka itu juga merupakan hasil pendapatan yang dapat dikira setiap bulan.
2. Catat perbelanjaan
Kemudian, ambil masa membuat catatan perbelanjaan yang dibuat. Ada perbelanjaan yang bersifat bulanan seperti bayaran hutang rumah, kereta, makan minum dan sebagainya. Ada perbelanjaan yang dibuat secara berkala seperti cukai tanah, insurans/takaful, servis kenderaan dan lain-lain.
Hari ini ada pelbagai apps spending tracker yang membolehkan kita mencatat perbelanjaan. Atau pun kita boleh memilih untuk mencatatnya dalam spreadsheet. Malah, untuk kekal old school dengan mempunyai buku catatan pun tidak ada masalah.
Kategorikan Jenis Perbelanjaan
Seterusnya setelah mempunyai catatan perbelanjaan, pecahkan kepada kategori-kategori berikut:
Simpanan: Duit yang disimpan setiap bulan ke Tabung Haji, ASB dan lain-lain produk simpanan / pelaburan.
Hutang dengan institusi kewangan: Duit hutang rumah, kereta, kad kredit, PTPTN dan lain-lain.
Pembayaran insurans / takaful: Term takaful, medical card dan lain-lain.
Pembayaran tetap / subscription bulanan: Sewa rumah, Netflix, Astro, tadika, transit dan seterusnya.
Perbelanjaan pelbagai: Belanja runcit, makan di luar, minyak, parking, barang keperluan diri dan keluarga.
Lain-lain.
3. Buat belanjawan
Apa lagi yang perlu dibuat? Duduk dan buat belanjawan peribadi & keluarga.
Kurangkan / tidak berbelanja dalam perkara yang tidak penting. Bertanyalah kepada diri sendiri, jika tidak berbelanja untuk perkara itu sekarang maka apakah yang berlaku? Jika tidak menjejaskan kualiti hidup sedia ada, maka itu bukanlah perkara yang penting.
Belanja dengan 90% gaji. Sekiranya dapat, buat belanjawan untuk mempunyai gaya hidup yang cuma dibayar dengan 90% gaji. Maksudnya jika pendapatan isi rumah sebanyak 20 ribu, maka buatlah belanjawan dengan gaya hidup 18 ribu sahaja. Lebih rendah nilai peratusnya adalah lebih baik.
Pergi ke pasaraya dengan senarai barang. Sebagai manusia, kita semua berbelanja dengan emosi. Maka, senaraikan semua barang yang mahu dibeli ketika berbelanja sejak dari rumah lagi. Bukan ambil semua yang kita berkenan di hati dari rak on the spot semasa berbelanja.
Bila makan di luar, bila makan di rumah (masak). Sedar atau tidak, banyak duit gaji kita habis untuk makan di luar rumah khususnya bagi yang sudah berkeluarga. Justeru, berbincanglah dengan pasangan tentang jadual makan keluarga. Bagaimana dapat terus makan dengan sihat tanpa berbelanja terlalu banyak.
Pastikan cukai, zakat ada bahagian dalam simpanan. Dalam kehidupan hari ini kita tidak terlepas dari kena bayar cukai. Yang paling utama cukai pendapatan. Tetapi cukai jalan, cukai tanah, cukai pintu dan pelbagai lagi bayaran yang kerajaan kenakan kepada kita. Jangan sampai kena penalti!
Ambil kesempatan diskaun. Ada pelbagai cara yang wujud. Boleh pakai mata ganjaran. Ada tawaran harga istimewa untuk ahli. Jualan murah yang memang betul-betul murah. Maka, ketika berjumpa kesempatan begini, manfaatkan sebaiknya.
4. Tambah pendapatan
Mengurangkan perbelanjaan memang sukar dibuat. Dan apa yang dapat dijimatkan juga adalah terhad. Maka, pilihan seterusnya ialah menambah pendapatan.
Ada dua pilihan iaitu (i) berniaga secara part-time. Zaman digital ini banyak peluang untuk menambah pendapatan. Walaupun begitu hati-hati jika ada yang menawarkan peluang perniagaan yang 'dijanjikan’ mudah buat duit.
Begitu juga dengan pelaburan. Jadi, kalau ada pihak yang promosi pelaburan yang boleh dapat income setiap bulan hanya dengan goyang kaki, pun kena berhati-hati. Selalunya itu semua scam.
Sudah tentu ada pelaburan yang dapat menghasilkan passive income seperti hasil sewa rumah dan dividen dari saham. Namun ini semua dapat dicapai setelah cashflow kita positif dahulu. Dari cashflow tersebut, kita gunakan untuk membina aset sedikit demi sedikit yang akhirnya dapat memberikan pendapatan lebih tinggi dari gaji.
Cara (ii) ialah bagaimana nak dapat gaji lebih tinggi. Ini juga adalah sesuatu yang dapat difikirkan. Berbincanglah dengan majikan untuk mengetahui peluang naik gaji yang ada. Antara cara lain juga ialah menambah sijil dan kemahiran sedia ada.
5. Menguruskan Durian Runtuh (Windfall)
Ada beberapa perkara yang perlu diuruskan seperti windfall dan bukannya pendapatan tetap. Iaitu duit yang kita jika dapat, alhamdulillah. Jika tidak ada pun, kualiti hidup kita tidak berubah.
Bonus. Jangan mengira bonus sebahagian dari pendapatan tetap yang membiayai lifestyle kita saban tahun. Bonus adalah budi bicara majikan yang terikat dengan sebab tertentu seperti kecemerlangan prestasi dan ganjaran kesetiaan. Bagaimana jika syarikat tidak berupaya lagi memberikan bonus? Perkara ini wajib diambil kira.
Bayaran balik lebihan cukai. Tax refund. Dapat berlaku jika kita merancang cukai kita dengan baik.
Penerimaan harta pusaka. Sudah tentu tidak diterima setiap tahun. Ini hanya diambil kira sekiranya kita sudah melalui proses bicara pusaka sebagai waris yang berhak.
Simpan si Hijau. Bagi yang masih berbelanja dengan duit tunai, maka dapat amalkan kaedah ini. Maklumlah zaman sekarang, lebih mudah berbelanja dengan QR payment. Setiap kali berbelanja, jika dapat baki dalam bentuk duit kertas RM5, maka terus simpan. Sediakan satu tabung khas untuk menyimpan semua duit kertas berwarna hijau ini dan kira jumlahnya pada hujung tahun.
Kawan-kawan bayar hutang lapuk. Lazimnya bila kawan mahu pinjam duit, hari-hari dia hubungi kita. Namun, bila sudah sampai masanya bayar hutang, kita pula terpaksa mengemis dari dia. Bila sudah terkena sebegitu, berdoalah mudah-mudahan hatinya lembut untuk bayar hutang kita semula.
Durian runtuh seperti ini dapat digunakan sebahagiannya untuk membina tabung kecemasan, membayar hutang jahat seperti kad kredit serta membuat pelaburan jangka panjang.
Dapatkan Bantuan Pakar
Sila dapatkan bimbingan profesional dari perancang kewangan berlesen untuk membaiki situasi cashflow sendiri sekiranya bimbang ada perkara yang terlepas pandang. Atau, untuk mendapatkan pandangan kedua tentang apa yang telah kita buat selama ini. Bukan semua benda kita dapat buat seorang diri.
Urus duit selalunya melibatkan emosi. Jadi, apabila ada seseorang yang dapat memberikan pandangan yang lebih objektif, maka sudah tentu kita dapat menilai baik dan buruk satu keputusan dalam hidup dengan lebih baik.
Ada yang mahu cepat bebas hutang, ada yang mahu pencen dengan duit yang cukup di tangan, ada yang mahu anak-anaknya terus mempunyai kehidupan yang lebih baik khususnya lepas kita atau pasangan kita meninggal dunia dan seterusnya.
Cashflow Adalah Kunci
Jaga aliran tunai, maka banyak benda baik dapat menyusul. Jangan pandang remeh dengan ketirisan pengurusan wang peribadi walaupun kecil.
Beware of little expenses; a small leak will sink a great ship - Benjamin Franklin.
Penulis
Pakdi merupakan perancang kewangan berlesen, stock advisor dan personal finance speaker.
Mahu khidmat konsultansi 1-on-1? Sila klik dan tinggalkan mesej di sini.