

Discover more from Nota Pakdi
"Boleh tak orang yang ada modal yang kecil ni melabur?"
Saya sering terima soalan yang seperti ini.
Modal adalah perkara yang subjektif. Kalau sekadar mahu mencuba-cuba, maka modal serendah 100 ringgit pun dah dapat bermula pada zaman sekarang ni.
Tetapi untuk mencapai objektif yang lebih besar, maka modal tak bolehlah cuma sekadar 5,6 ribu sahaja. Kemudian berharap dapat berkembang jadi 1 juta.
Melabur ni macam tanam pokok buah. Hasil buah yang dituai itu namanya keuntungan.
Kalau nak merasa buah, pertama sekali kena ada biji benih. Jika tidak ada benihnya, pokok buah pun tak dapat ditanam. Simpanan itulah biji benih kita untuk melabur.
Jadi macam mana nak melabur kalau tak ada modal simpanan?
Besar impiannya, maka besarlah modal yang perlu disediakan.
Benda yang perlu dibuat ketika bermodal kecil ialah underspend. Di sini, underspend yang dimaksudkan bukanlah jangan minum Starbucks, tetapi berhati-hati dengan perbelanjaan-perbelanjaan besar yang selalunya melibatkan:
Monthly fixed expenses
Beli rumah
Beli kereta
Dan yang paling utama ialah macam mana perkembangan kerjaya diri sendiri. Nilai dengan jujur sekiranya kita berkemampuan memperoleh gaji lebih tinggi dengan kerja sekarang? Jika tidak, apa yang wajar kita lakukan sekarang?
Pelabur Bermodal Kecil
Tak perlu fikir banyak-banyak sangat
Tambah sahaja dalam simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji sehingga tabungan mencecah 6 angka. Tambah simpanan dari masa ke masa, secepat mungkin.
Jika nak mencuba pelaburan yang lain pada waktu ini, tiada masalah. Namun, objektifnya bukanlah untuk jadi kaya. Hanya untuk belajar. Bila disebut proses pembelajaran, maka anggaplah kerugian yang dialami itu nanti sebagai yuran sahaja.
Apa yang utama fokus untuk cukupkan simpanan 6 angka dahulu.
Pelaburan juga perlu ukur baju di badan sendiri.
Bila sudah capai simpanan 6 angka dalam ASB / TH perlu buat apa pula?
‘Benih’ sudah ada di tangan, maka buatlah apa yang disebut sebagai objective based investing. Dah ada simpanan 6 angka ini mahu ke mana pula?
Pecahkan kepada tiga (3) objektif:
Jangka masa pendek: Perkara yang hendak dicapai dalam tempoh kurang 1 tahun.
Jangka masa sederhana: Perkara yang hendak dicapai dalam tempoh 1-5 tahun.
Jangka masa panjang: Perkara yang hendak dicapai dalam tempoh lebih dari 5 tahun.
Objektif jangka masa pendek seharusnya disesuaikan dengan produk pelaburan yang paling selamat. Dan sudah tentu objektif jangka masa panjang sesuai dengan pelaburan yang kelihatan paling berisiko.
Sekiranya sudah melabur secara ‘cuba-cuba’ sebelum ini maka kita sudah tentu tahu apakah yang dikatakan pelaburan yang selamat dan juga pelaburan yang berisiko.
Pada peringkat ini juga, kita sepatutnya juga sudah tahu sama ada kita berkemampuan melabur secara do-it-yourself (DIY) atau tidak ada masa untuk menguruskannya sendiri, seterusnya memerlukan bantuan profesional berlesen.
Sekiranya kalian sudah mencapai simpanan 6 angka seperti ini, maka apa yang tinggal sekarang adalah kesanggupan diri sendiri untuk mengambil lebih risiko. Keuntungan yang besar hanya dapat dicapai jika kita bersedia untuk meninggalkan pelaburan yang ‘selamat’.
Modal kecil atau modal besar bukan lah menjadi masalah utama.
Apa yang sering menjadi masalah utama ialah tidak mahu mengukur baju di badan sendiri. Modal kecil, tapi tidak sabar mahu menjadi jutawan. Tamak. Greedy. Sehinggakan modal yang ada di tangan itu habis kesemuanya.
Modal kecil, buat cara modal kecil.
Modal besar, buat cara modal besar.
Jangan tengok orang lain melabur, kita pun terikut sama. Sedangkan poket orang lain itu barangkali lebih tebal dari poket kita. Orang lain rugi 100 ribu pun barangkali masih tak jadi miskin, malah masih dapat pergi travel oversea setiap tahun. Ini rugi tak sampai 1 ribu pun sudah berkeluh kesah.
Ok, kalau kalian berminat untuk melabur dengan saya - invest with Pakdi. Reply sahaja emel yang diterima ini.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan licensed financial planner. Beliau menguruskan portfolio klien yang tidak dapat melabur secara DIY - Klik sini untuk info lanjut.