Satu dua minggu lepas tular tentang pelaburan unit trust tak untung. Sebenarnya isu ini akan berulang dan terus berulang banyak kali. Lebih-lebih lagi jika tahun itu prestasi pasaran saham adalah tidak bagus.
Saya tak mahu ulas pasal itu. Saya dah tulis pasal cara membuat menguruskan pelaburan unit trust sebelum ini. Apa yang saya nak tulis adalah pasal unit trust secara umum.
1. Unit trust (unit amanah) merupakan produk pelaburan paling popular setakat hari di Malaysia. Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga adalah unit trust. Beza ASB dengan. majoriti unit trust lain ialah harganya tetap dan tidak berubah.
2. Sebab utama popular adalah ada lebih 60 ribu konsultan di Malaysia. Insentif yang diterima adalah tinggi iaitu melalui caj jualan ialah sekitar 5% melalui pelaburan tunai dan 3% melalui skim pelaburan ahli KWSP.
3. Pelaburan unit trust melalui ejen syarikat atau lebih dikenali sebagai unit trust consultant, mereka lazimnya hanya memasarkan dan menjual dana-dana dari syarikat yang mereka wakili sahaja. Justeru, ramai dari mereka tidak dapat membantu pelabur melabur dalam dana-dana dari syarikat yang berbeza.
Dalam pasaran, ada lebih 750 dana yang ditawarkan 40 syarikat unit trust (unit trust management companies).
4. Maka, untuk mendapat perbandingan pelbagai dana dari pelbagai syarikat, maka pilihan pertama ialah dengan melabur sendiri secara online. Caj jualan pun lebih rendah. Cuma semuanya kena urus sendiri. Kena pilih dana sendiri. Bila nak beli, bila nak jual semua sendiri-sendiri. Antara platform yang boleh digunakan ialah eunittrust.
5. Selain melabur sendiri online, pelabur dapat mendapatkan khidmat licensed financial planner. Melalui unit trust wrap account, financial planner dapat beri diskaun (tak wajib) caj jualan kepada klien-klien mereka. Ada juga fund manager yang menawarkan akaun mandat persendirian untuk pelaburan unit trust. Inilah cara yang membolehkan pelabur membina satu portfolio unit trust yang tidak terikat secara spesifik dengan dana-dana dari 1 syarikat sahaja.
Melabur unit trust, sama ada melalui ejen, bank, online, wrap account mahupun mandat persendirian tidak lah menjamin apa-apa untung. Setiap satu pendekatan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
6. Unit trust ni sesuai untuk kebanyakan pelabur sebab modal permulaan yang rendah. Mampu milik. Macam ASB modalnya cuma 10 ringgit. Unit trust dari syarikat lain pula ada yang dapat bermula dengan 100 ringgit. Hanya unit trust jenis wholesale fund yang memerlukan modal permulaan yang tinggi.
7. Selain itu pelaburan unit trust dapat berlaku instant diversification. Kalau buat portfolio pelaburan saham, untuk beli 10 saham sekaligus mungkin perlu modal sekurang-kurangnya antara 30 ke 50 ribu ringgit. Bergantung kepada jenis saham apa nak beli. Tapi dengan unit trust, diversification sudah pun berlaku secara automatik.
8. Di mana unit trust ni melabur? Ikut objektif pelaburan yang tertulis dalam trust deed. Jadi dari situ, ada unit trust yang melabur dalam (a) pasaran saham Malaysia (b) pasaran saham luar negara (c) bond / sukuk (d) pasaran wang e.g. money market (e) hartanah (f) kombinasi aset dan (g) yang paling terbaru dalam bitcoin.
Jadi, yang urus pelaburan sendiri kena lah cari dan baca prospektus, fact sheet untuk tahu dengan lebih terperinci di manakah pelaburan sesuatu dana itu dibuat. Jangan ingat semua unit trust itu sama. Berbeza-beza mengikut kategori.
9. Patut ke melabur dalam unit trust? Kalau merujuk kepada keperluan buka akaun ASB yang juga sejenis unit trust, maka itu adalah permulaan yang bagus. Tetapi kalau unit trust lain, ianya bergantung kepada banyak faktor.
Secara umumnya, kita perlu buat satu portfolio pelaburan yang mana ada dana yang dapat memberikan dividen secara tetap dan ada dana yang dapat naik harga, seterusnya dapat bagi pulangan lebih tinggi dari dividen. Macam mana tu? Katakan modal 10 ribu, 3 situasi dapat berlaku.
i) Modal susut tinggal 8 ribu + 500 dividen.
ii) Modal kekal 10 ribu + 500 dividen.
iii) Modal meningkat jadi 12 ribu + 500 dividen.
Keuntungan modal dan dividen ada fungsi tersendiri dalam sesuatu portfolio pelaburan. Sudah tentu, faktor risk-reward memainkan peranan.
10. Jadi, untung atau tidak melabur unit trust ni? (ini yang ramai nak tahu kan). It depends.
Keuntungan bergantung kepada pulangan pasaran (market return) semasa dan jenis aset yang dipilih. Misalnya, pada tahun 2023 saham-saham pasaran US memberikan pulangan yang lebih tinggi dari pasaran saham Malaysia. Malah, situasi ini telah berlaku lebih 5 tahun. Jadi, keuntungan pelaburan unit trust itu bergantung kepada dana apa yang dipilih.
Atas sebab itu kenapa dua orang pelabur, saya namakan seorang Suri dan seorang lagi Hana. Walaupun Suri dan Hana sama-sama melabur dalam unit trust, untung rugi mereka dapat berbeza sebab mereka membeli produk unit trust yang melabur dalam pasaran yang berlainan.
Maka, sekiranya ada orang cerita pelaburan unit trust dia rugi, tidaklah bermaksud semua orang sama-sama rugi. Begitu juga sebalikya.
Penulis
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.