1. Ada kawan bertanya - Kalau ada 1 juta untuk retirement cukup atau tidak?
2. Jawapan saya kepada beliau adalah - It depends.
3. Ini kerana gaya hidup satu individu dengan individu yang lain itu berbeza-beza. Ada orang cukup dengan kopi kampung. Ada orang mahu americano. Itu satu.
4. Lagi satu faktor ialah 1 juta yang kita ada hari ini nilainya tidak sama dengan 1 juta yang diterima 15 tahun lagi disebabkan kesan inflasi. Time value of money dalam istilah orang kewangan.
5. Bagi individu yang makan gaji khususnya, gaya hidup ditentukan dengan gaji yang diterima setiap bulan. Itu yang selalu disebut sebagai golongan T20, M40 dan B40. Gaji itu dibayar oleh syarikat. Selagi gaji masuk setiap bulan, tidak ada apa yang nak dirisaukan.
6. Ramai yang cuma terfikir adakah dapat bersara dengan duit yang cukup di tangan hanya setelah hampir dengan usia persaraan. Sebabnya baru tersedar yang tidak lama lagi gaji tidak lagi masuk tiap-tiap bulan dalam akaun bank.
7. Seandainya hari ini gaji yang diterima lebih 10 ribu sebulan atau lebih 120 ribu setiap tahun, maka pada usia persaraan nanti berapa pula yang kita perlukan untuk mengekalkan gaya hidup sedia ada?
8. Cara paling mudah ialah 10 ribu darab 12 bulan. Bersamaan dengan 120 ribu setahun. Jika 10 tahun, maka perlu ada 1.2 juta ringgit. Itu kalau 10 tahun. Kalau 15 tahun, 1.8 juta ringgit.
9. Tapi kira-kira seperti di atas tidak mengambil kira faktor inflasi yang menghakis kuasa membeli lagi 10 atau 20 tahun akan datang. Sila ingat balik pada tahun 2000, harga barang-barang asas tahun itu sangat berbeza dengan harga tahun 2024. Maka, berapa pula kos sara hidup 15-20 tahun lagi?
10. Maka sebab itulah 1 juta ringgit mungkin cukup bagi sebahagian orang, dan tidak cukup bagi sebahagian yang lain disebabkan gaya hidup yang kita pilih adalah berbeza-beza.
11. Kira sasaran. Berapa anggaran jumlah simpanan tabung persaraan yang diperlukan selepas faktor inflasi. Mana-mana licensed financial planner dapat mengirakannya.
12. Seterusnya buat reviu portfolio pelaburan semasa. Supaya selepas kiraan dibuat, kita dapat tahu sama ada wujud jurang simpanan atau tidak. Jika wujud jurang simpanan, maka portfolio aset-aset sedia ada perlu distrukturkan semula untuk menutup jurang tersebut.
13. Penstrukuran semula portfolio pelaburan. Ada dua perkara yang penting iaitu (1) membuat asset allocation. Ini membolehkan pelaburan dibuat dengan wajar dan bersistematik dan wajar. (2) Jumlah simpanan yang perlu dibuat secara konsisten. Simpanan adalah anak kunci untuk dunia persaraan yang selesa.
14. Inilah antara kerja seorang licensed financial planner. Kalau bahasa boombastiknya ialah buat strategic planning. Bagaimana seseorang itu dapat bersara dengan duit yang cukup di tangan. Tetapkan sasaran dalam bentuk angka, adakah sasaran itu realistik, cabaran-cabaran yang ada dan adakah sasaran dapat dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan.
15. Jika jumpa “financial planner” yang terus-terus bercerita pasal produk pelaburan, itu sebenarnya bukan financial planner tetapi dia merupakan sales person. Kerja utama orang sales ialah menjual produk untuk tujuan komisyen. Lazimnya cenderung bercerita tentang return yang sudah lepas sahaja. Suka tunjuk yang baik-baik. Tapi buat-buat lupa tunjuk apa yang kurang baik. Sedangkan dalam perancangan pelaburan kita perlu mengambil kira risiko pelaburan.
16. Sesi ‘strategic financial planning’ yang sebenar adalah sesi one-to-one antara klien dan financial planner. Berapa banyak simpanan yang klien perlu. Bagaimana klien dapat mencapainya. Licensed financial planner menjual masanya untuk perah otak. Bukan jual produk. Bukan cerita pasal produk dulu.
17. Bayar masa dan kemahiran licensed financial planner untuk buat satu halatuju kewangan jangka panjang. Roadmap.
18. Produk datang selepas itu.
19. Sekarang, berapakah jumlah yang tuan puan (rasa-rasa) perlu untuk bersara dengan duit yang cukup di tangan dan bagaimanakah cara untuk mencapainya?
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.