1. Melabur saham ni apa? Begini. Di Malaysia kita ada tabung simpanan seperti Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mana harganya tetap dan tidak berubah. Setiap tahun, pendeposit menerima dividen. Satu ketika dulu, nilai dividen yang diterima adalah tinggi. Sekarang, dividen yang diterima dari tabung-tabung ini di antara 3-5% setahun.
2. Pada kadar pulangan tersebut maka setiap 10 ribu yang disimpan berpotensi mendapat pulangan antara 300 ke 500 ringgit. Risiko itu ada, cuma di pihak pendeposit risiko pasaran itu boleh dikatakan tiada. Jadi, bagus lah kan. Pelaburan seperti ini lah yang ramai suka. Kan.
3. Pelaburan saham pula dapat memberikan dua jenis keuntungan, pertama keuntungan dividen sama macam diterima menerusi ASB dan TH dan kedua, keuntungan modal (capital gain). Jadi, secara ringkasnya saham berpotensi beri lebih untung (dan rugi). Boleh baca nota berikut pasal keuntungan pelaburan
4. Jadi patut atau tidak patut melabur dalam saham ni? Jawapannya adalah bergantung kepada situasi kewangan masing-masing pada hari ini.
5. Ada orang nak kejar quick profit dalam saham. Ini bukan cara seorang pelabur. Ini lebih bersifat speculating atau trading. Jadi, individu yang nak buat short term profit ini merupakan speculator atau trader. Aktiviti ini adalah dibenarkan dalam pasaran saham.
6. Sebagai licensed financial planner, saya membantu klien mempunyai satu pelan halatuju supaya mereka mempunyai ekuiti yang mencukupi. Cara yang wajar digunakan untuk mencapai sasaran ekuiti untuk jangka masa panjang adalah dengan cara melabur (invest) dan bukannya berjual beli saham gaya spekulator atau trader.
Baca: Membina Ekuiti
7. Seorang individu bernama Sara (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun. Selepas analisa kewangan dibuat, Sara memerlukan ekuiti sebanyak 2.5 juta untuk bersara dengan hati yang tenang. Namun, portfolio sedia ada dijangka hanya dapat berkembang menjadi 1.7 juta sahaja. Ada jurang simpanan sebanyak 800 ribu.
8. Ini berlaku kerana asset allocation sedia ada besar pendedahannya dalam ASB dan Tabung Haji. Asset allocation tersebut adalah wajar sekiranya Sara tidak mempunyai jurang simpanan. Namun sekiranya sudah mempunyai jurang, maka ia hendaklah ditutup.
9. Maka, untuk menjawab soalan pada perkara (4) di atas, Sara wajar melabur sebahagian simpanan beliau dalam pasaran saham. Sebahagian sahaja. Bukan melabur 100% simpanan dalam pasaran saham.
10. Satu penstrukturan semula portfolio pelaburan perlu dibuat agar Sara mempunyai pendedahan dalam pasaran saham. Caranya dengan menyusun semula asset allocation. Berapa peratus yang wajar diletakkan dalam pelaburan yang hanya memberikan dividen seperti ASB dan Tabung Haji, dan berapa peratus pula yang wajar diletakkan dalam saham, yang dapat memberikan untung dividen dan kenaikan modal. Supaya akhirnya Sara dapat mencapai sasaran 2.5 juta pada usia persaraan untuk bersara dengan gaya hidup yang dimahukan.
11. Bagaimana Sara dapat melabur dalam pasaran saham? Sara dapat memilih cara-cara berikut:
Dengan membeli saham secara terus melalui akaun CDS / akaun dagangan yang dibuka dengan syarikat broker.
Melalui managed account / mandat persendirian dengan syarikat pengurusan aset.
Menerusi akaun pelaburan unit amanah (unit trust).
Melalui exchange traded fund (ETF).
Atau kombinasi cara-cara di atas.
Setiap cara ini ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Sebagai seorang licensed financial planner saya memberikan spesific investment advice dari cara-cara yang disebutkan di atas berdasarkan situasi dan keperluan klien. (Maklumlah ramai ingat financial planner ni kerjanya menjual unit trust semata)
12. Kenapa saham berpotensi beri keuntungan yang tinggi seterusnya dapat menutup jurang simpanan? Ini kerana dengan membeli saham, kita sebenarnya membeli perniagaan. Justeru, keuntungan dividen dan kenaikan modal itu mempunyai kaitan langsung dengan operasi perniagaan.
Baca: Prestasi Pelaburan 2023
13. Apple Inc adalah sebuah syarikat teknologi. Sahamnya diniagakan dalam pasaran Nasdaq, Amerika Syarikat. Ramai yang kenal Apple melalui iPhone dan iPad. Sebelum tahun 2007, iPhone tidak wujud. Ia hanya diperkenalkan ada 29 Jun 2007. Hari ini, kita dapat lihat ramai orang sudah memiliki iPhone. Harga produk Apple tidak murah. Walaupun begitu, ramai orang tetap mahu membeli produk Apple setiap kali ada produk baru dilancarkan. Ini menyebabkan keuntungan syarikat bertambah, seterusnya menaikkan harga dan nilai saham syarikat Apple.
14. Tetapi bukan semua syarikat itu berkualiti macam Apple. Sebab itu ada orang yang sama-sama melabur saham mengalami kerugian disebabkan membeli syarikat yang tidak berkualiti. Membeli saham yang berkualiti pada harga yang betul adalah penting untuk meraih pulangan yang tinggi. Kita dapat belajar cara memilih saham yang betul, atau minta bantuan profesional untuk menguruskan portfolio kita.
15. Boleh atau tidak melabur dalam pasaran luar negara walaupun duduk di Malaysia? Jawapannya sudah tentu boleh. Hari ini kita dapat membeli saham Apple sama ada secara langsung atau tidak melalui cara-cara yang disebutkan dalam perkara (11). Justeru, membuat pelaburan global adalah wajar pada saat ini.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.