1. Selalu orang tanya saya - kalau pelaburan tengah rugi patut buat apa?
2. Saya jawab - beli lah lagi.
3. Kemudian ditanya lagi - ish, nanti kalau harga jatuh lagi macam mana?
HARGA PASTI JATUH
4. Tak kisah lah sama ada beli saham sendiri, melabur dalam unit trust ke atau mandat persendirian, nilai pelaburan pasti sentiasa naik dan turun.
5. Masa naik orang tak ada nak tanya sangat. Selalunya yang menjadi masalah ialah ketika pasaran tengah jatuh.
6. Benda ni tak boleh nak elak. Jadi kita kena tahu apa yang patut dibuat semasa pasaran tengah jatuh. Memang kena kawal rasa takut.
TENGOK NILAI PORTFOLIO KESELURUHAN
7. Ramai melabur sebab dia nak dapat untung lebih dari simpanan dalam ASB, TH atau KWSP.
8. Selalunya sebab ejen suka banding membanding dan tunjuk prestasi lepas yang untung-untung sahaja. Sedangkan ada masa untung, ada masa rugi. Prestasi lepas tidak menjamin keuntungan masa depan.
9. Sepatutnya bila melabur, tujuannya adalah untuk melengkapkan portfolio sedia ada. Selalunya kita memang dah simpan duit dalam ASB, TH mahupun KWSP. Jadi, untuk tinggikan untung portfolio kena lah mula melabur. Bukan sekadar menyimpan.
10. Pelaburan bertujuan meninggikan potensi untung portfolio. Supaya akhirnya mencapai sasaran pelaburan e.g. tabung persaraan.
11. Bukan untuk lawan mana lebih untung.
12. Portfolio pelaburan ini secara mudah ialah gabungan simpanan dan pelaburan. Perlu ditengok secara helicopter view. Holistik. Keseluruhan.
13. Ada waktu… aset simpanan untung, aset pelaburan lebih untung.
14. Waktu lain pula… aset simpanan untung, aset pelaburan rugi.
15. Bukannya untuk lawan produk simpanan dengan produk pelaburan. Tapi keduanya saling melengkapi. Jadi sentiasa tengok prestasi keseluruhan portfolio iaitu simpanan + pelaburan sekaligus.
BELI PELABURAN YANG BETUL
16. Kena berani beli lagi ketika harga jatuh. Pada waktu itu, terbuka sudah peluang untuk menjadikan harga purata (average price) pembelian semakin rendah.
17. Memang ada saham dan unit trust yang bila dah jatuh, harganya tidak naik semula. Pada masa yang sama, ada juga saham dan unit trust bila harganya jatuh, tak lama kemudian harganya naik semula. Maka dalam hal ini kena ada ilmu. Ilmu untuk memilih saham atau unit trust yang betul.
18. Ilmu pelaburan saham yang perlu dipelajari ialah value investing. Ilmu ini membolehkan pelabur tahu untuk menilai sesuatu saham itu sedang dijual dengan harga diskaun atau pun tidak. Istilahnya undervalued atau pun overvalued. Kita nak beli saham-saham berkualiti yang sedang dijual pada harga diskaun.
19. Untuk unit trust pula, kena ada ilmu tentang asset allocation, rebalancing dan cost savings. Bukan semua unit trust adalah sama. Tak boleh pukul rata kerana strategi pelaburan yang digunakan oleh pengurus dana adalah berbeza.
20. Ilmu-ilmu pelaburan ini (sepatutnya) menjadikan kita menjadi lebih tenang. Akhirnya kita dapat amalkan nasihat Warren Buffett - be fearful when others are greedy and to be greedy only when others are fearful.
MELABUR SELEPAS MENYIMPAN
21. Jika kejatuhan pasaran menyebabkan seseorang itu jatuh miskin, ketahuilah itu tandanya dia telah melabur lebih dari kemampuan kewangan dirinya sendiri. (Sebab itu kena buat asset allocation sebelum melabur).
22. Sebab itu takut sangat rugi.
23. Atau mungkin sebab dia cuba nak jadikan untung pelaburan sebagai pendapatan bulanan. Tapi tak ada back-up lain sekiranya pasaran tengah tak elok. Selalunya newbie lah yang terperangkap dengan cara macam ni. Simpanan tak ada pun sudah sibuk nak melabur.
24. Saham-saham tertentu memang ada berpotensi dapat naik sampai 1,000%. Tetapi pada masa yang sama kena bersedia untuk rugi lebih 50% - 60% malah rugi 90% atau pun 100%.
25. Unit trust, mandat persendirian pun tak mustahil dalam setahun boleh untung sampai 50%. Pada masa yang sama kena bersedia untuk rugi 20-30%.
26. Situasi di atas adalah normal.
27. Simpanan itu adalah pelampung, kapal penyelamat semasa menghadapi gelora pelaburan. Simpanan membolehkan kita tenang-tenang sahaja. Sebab kita tahu persediaan sudah cukup.
PASTI ADA UNTUNG RUGI
28. Saya ulang.
29. Hari ini saya beli, esok harga saham turun.
30. Itu normal.
31. Harapan luar biasa pelabur itu yang tidak normal.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.