Sampai Bila Nak Peram?
Dalam satu sesi temujanji, saya pernah ditanyakan soalan …
Sebenarnya berapa lama kena melabur?
Barangkali ada di kalangan anda pun mempunyai persoalan yang sama. Tiap 3 bulan ejen jumpa minta thumbprint, tapi sampai bila nak kena melabur?
Ke sebenarnya lepas dapat untung dapat 15% sahaja jual. Kemudian beli lagi dan tunggu naik balik 15%? Ulang 10x.
“Berapa lama perlu melabur adalah bergantung kepada objektif pelaburan. Jadi bila dah tercapai objektif itu, maka puan boleh lah guna,” itu jawapan awal yang saya berikan kepada klien tadi.
Secara mudahnya kita dapat pecahkan 3 objektif pelaburan mengikut tempoh masa.
Jangka pendek
Jangka sederhana
Jangka panjang.
Tabungan jangka pendek antaranya macam tabung kecemasan. Walaupun namanya ialah tabung kecemasan, namun fungsi utamanya ialah memberikan anda duit tunai segera di tangan sekiranya perlu berbelanja untuk perkara luar jangka. Supaya tidak perlu berhutang.
Jadi duit dalam tabung kecemasan bukanlah disimpan sampai langsung tak boleh diusik. Bila berlaku sesuatu di luar jangka, maka gunakanlah.
Antara tabungan jangka pendek lainnya macam tabung untuk buat ibadah korban. Tengok harga korban tahun lepas, dan simpan lebih sedikit untuk persediaan ibadah korban tahun depan. Sampai masa AJK surau minta duit nak beli lembu, maka keluarkanlah simpanan tersebut.
Selain itu ialah macam tabung keluarga. Macam untuk bayar yuran PIBG sekolah, barang keperluan sekolah, tuisyen, kelas berenang dan lain-lain. Termasuklah tabungan untuk keperluan berhari raya.
Manakala untuk tabung jangka sederhana ialah seperti.
a. Tabung suka ria. Untuk enjoy. Anda tentukan kegembiraan anda sendiri. Barangkali bertujuan untuk pergi bercuti. Mahu tukar kereta. Ini adalah duit yang kita mahu belanjakan sesuka hati dalam tempoh lebih dari 1 tahun tanpa perlu ada rasa bersalah. Siapa kata perancangan kewangan tak boleh berbelanja for fun?
b. Tabung rumah. Rumah biasanya menjadi perbelanjaan terbesar ramai orang. Untuk cukupkan deposit rumah. Untuk tujuan renovasi. Untuk duit beli barang-barang dalam rumah dan seterusnya.
c. Tabung modal side income. Ini antaranya bertujuan untuk mengumpul modal untuk menjana pendapatan sampingan seperti aktiviti spekulasi / dagangan (trading). Atau pun untuk tujuan berniaga kecil-kecilan.
Untuk jangka masa panjang lazimnya melibatkan dua perkara berikut:
i. Tabung pendidikan anak. Ini ialah simpanan untuk menanggung perbelanjaan anak masuk ke universiti.
ii. Tabung persaraan. Simpanan & pelaburan jangka panjang supaya duit cukup di tangan pada waktu persaraan.
Anda yang tidak berpencen dan hanya mempunyai KWSP perlu mengira sama ada nanti pada waktu bersara cukup atau tidak duit. Ramai yang beranggapan simpanan dalam KWSP secara automatik pasti mencukupi. Malangnya dari pengalaman saya, ramai yang sebenarnya tidak cukup jika hanya bergantung sepenuhnya dengan KWSP.
Untuk kakitangan kerajaan, jika rasa duit pencen nanti tidak cukup, anda juga dapat merancang untuk menambah ‘duit pencen’ anda melalui perancangan tabung persaraan.
Setelah menetapkan tujuan pelaburan, maka barulah dapat buat asset allocation yang betul. Asset allocation untuk matlamat jangka pendek sangat berbeza dengan matlamat jangka panjang.
Jika nak pakai duit itu dalam masa beberapa bulan, maka sudah tentu tidak sesuai untuk melabur dalam aset yang harganya bergerak dengan cepat.
Apa yang selalu berlaku ialah ramai orang tidak menyediakan simpanan kecemasan tetapi dah mula nak melabur saham misalnya. Malang tidak berbau. Pasaran tengah jatuh dan pada waktu itulah ada keperluan nak pakai duit.
Apa yang terjadi?
Ramai yang kena jual at loss. Sedangkan jika pasaran tengah jatuh sebegitu, maka itu adalah peluang untuk tambah pelaburan lagi pada harga yang lebih rendah. Apa boleh buat, benda dah jadi.
Produk itu dah elok dah, cuma kita lah pilih produk pelaburan yang salah dan tidak sesuai dengan objektif pelaburan.
Tentang
Salam. Saya Pakdi. Seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan & pelaburan secara Islami.