Buat Duit
Duit tidak tumbuh di pokok. Jika tumbuh di pokok, kan mudah. Berhenti kereta tepi jalan dan petik sahaja.
Oleh sebab itu anda perlu belajar tentang simpanan dan pelaburan. Inilah jalan yang semua orang boleh buat. Simpan dan labur.
Berniaga adalah cara terbaik untuk buat duit. Tetapi bukan semua berbakat berniaga.
Katakan setiap hari anda beli kopi berharga RM 5. Hari-hari. Maka setahun perbelanjaan minum kopi adalah RM 1,825. Kalau 10 tahun, RM 18,250. Dengan jumlah yang sama, sekiranya dilaburkan dengan keuntungan 5% setahun maka nilainya menjadi RM 22,942. Dan jika 30 tahun, berkembang menjadi RM 121,184.
Inilah yang dinamakan kuasa compounding. Berlaku semasa duit bekerja untuk anda. Sikit-sikit lama-lama jadi gunung.
Ada dua cara buat duit.
1. Anda bekerja untuk duit. Maksudnya keluar bekerja. Syarikat bayar masa anda. Hujung bulan dapat gaji. Atau berniaga. Atau masuk bidang jualan. Cari pelanggan yang mahu mendapatkan servis atau produk.
2. Duit bekerja untuk anda. Dari pendapatan yang diterima dari gaji atau komisyen, disimpan dan dilaburkan.
Seterusnya, ada dua cara juga bagaimana duit bekerja untuk anda.
a. Duit buat duit. Iaitu bila simpan duit dalam bank, dapat ‘interest’ atau ‘keuntungan’. Atau laburkan duit anda dengan membeli saham dalam syarikat, dapat dividen.
b. Beli sesuatu yang nilainya dapat naik pada masa depan. Beli tanah. Beli saham. Beli emas. Beli kripto. Atau apa-apa aset yang anda jangka nilainya dapat naik di kemudian hari.
Dan anda tidak perlu memilih kerana dapat melakukan kedua-duanya dengan serentak.
Simpanan Dulu Baru Pelaburan
Menyimpan bermaksud letak duit di tempat yang paling selamat, tidak berlaku turun naik harga dan yang paling utama boleh keluarkan duit itu dengan cepat dan pada bila-bila masa.
Oleh sebab selamat dan mudah dikeluarkan, maka duit yang anda simpan tidak dapat memperoleh “gaji” yang besar. Anggaplah simpanan ini seumpama pekerjaan part-time disebabkan keuntungan yang rendah.
Walaupun keuntungan dari simpanan ini rendah, namun simpanan adalah sangat penting untuk perbelanjaan harian. Sangat sangat sangat penting sebagai tabung kecemasan. Apabila berlaku sesuatu luar jangka yang memerlukan duit tunai segera.
Maka simpanan ini perlu dibuat sampai cukup jumlahnya bersamaan 6 bulan gaji.
Pelaburan Untuk Masa Depan
Melabur pula dapat menyebabkan anda rugi dan dibuat untuk memenuhi keperluan jangka masa yang lebih panjang. Tidak ada siapa dapat menjamin sama ada pelaburan yang dibuat boleh memberikan keuntungan. Modal boleh hangus. Namun disebabkan wujudnya risiko inilah yang membolehkan pelaburan berpotensi memberikan lebih untung dari simpanan untuk jangka masa panjang.
Produk simpanan melalui bank-bank adalah seperti akaun simpanan, akaun semasa dan akaun simpanan tetap. Akaun money market juga dapat menjadi pilihan.
Di Malaysia, keistimewaan ada dalam produk seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan juga Tabung Haji.
Selepas sudah mempunyai 6 bulan simpanan di tempat-tempat tersebut, maka mulakan misi pelaburan dengan membuat satu financial roadmap. Ini membolehkan anda urus kewangan anda dengan halatuju yang jelas dan tidak lagi mengikut-ikut orang lain.
Di manakah anda dapat membuat pelaburan? Mulakan dengan aset yang paling asas iaitu saham dan juga bon & sukuk.
Beli saham bermaksud mempunyai pemilikan dalam sesuatu perniagaan yang tersenarai di bursa. Dengan harapan pada masa hadapan perniagaan tadi semakin berkembang dan memberikan anda lebih banyak duit.
Manakala membeli bon & sukuk pula bermaksud memberi hutang kepada kerajaan atau perniagaan. Ya, anda sebenarnya dapat “pinjamkan” duit lebihan kepada kerajaan mahupun syarikat.
Begini.
Sebuah syarikat ingin mengembangkan perniagaannya. Syarikat menawarkan penjualan saham dan juga menerbitkan sukuk untuk mendapatkan modal perniagaan. Tidak ada jaminan modal selamat dan keuntungan bila beli saham syarikat tersebut, manakala dengan membeli sukuk, pelabur mendapat keuntungan tetap sebanyak 5.5% setahun selama 7 tahun dengan modal pokok dipulangkan semula selepas tempoh matang,
Apabila anda membeli saham, apabila syarikat membuat untung dan semakin maju maka harga sahamnya pasti naik dengan banyak. Seandainya dalam tempoh 5 tahun keuntungan syarikat meningkat lebih 100% maka harga saham akan ikut prestasi perniagaan tersebut. Dividen pun akan semakin meningkat. Sebaliknya kepada pemegang sukuk, anda cuma menerima 5.5% sahaja yang dipanggil kupon.
Namun jika situasi sebaliknya berlaku (syarikat tidak buat untung seperti yang dijangka), maka harga saham boleh merudum. Dividen pun berkurang. Namun, pemegang sukuk tetap dapat kupon saban tahun selagi mana aliran tunai syarikat membenarkan.
Pening? Tak tahu nak melabur di mana..? Sukuk ke saham?
Begitulah sedikit sebanyak sekiranya anda memilih untuk menguruskan pelaburan sendiri. Kena belajar untuk membaca penyata kewangan syarikat dan membuat penilaian saham untuk tahu saham apa yang wajar dibeli. Seterusnya, kena tahu untuk buat satu porfolio pelaburan.
Jika tidak mempunyai masa dan kemampuan untuk melakukannya sendiri maka itu tandanya perlu kepada bantuan individu berlesen. Siapa? Maka itu semua bergantung kepada khidmat nasihat apa yang anda perlu.
Ada syarikat broker, analyst yang menyediakan research report. Ada fund manager yang menguruskan mandat persendirian. Atau dapatkan licensed financial planner yang menawarkan unit trust wrap account, juga unit trust consultant menerusi unit trust normal account.
Ya, duit tidak tumbuh di pokok. Duit tidak turun dari langit. Kena kerja dapatkan duit. Kena keluarkan duit supaya dapat kemahiran urus duit.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan dan pelaburan secara Islami.