Soalan Dari Pelabur Newbie
Ramai orang memulakan pelaburan dengan langkah yang salah.
Ini antara soalan yang saya terima dari emel:
“Saya dah ada simpanan sikit, di mana patut melabur?”
Apa jawapan saya?
Pelaburan bukanlah untuk anda menjana pendapatan kedua, sekarang. Anda melabur untuk masa depan. Supaya mendapat financial independence iaitu hidup dengan hasil pelaburan.
Begini.
1 juta dengan untung 10% menghasilkan 100 ribu.
10 ribu dengan untung 10% menghasilkan 1 ribu.
Saya mahu bertanya kepada anda, siapa yang dapat hidup “tanpa bekerja”? Mereka yang ada pendapatan dividen 100 ribu setahun atau mereka yang cuma dapat 1 ribu setahun?
“Kalau macam itu, saya target dapat 10% sebulan. Saya cuma nak additional monthly income.”
1 bulan 10%.
12 bulan ialah 120%.
Saya suka untuk beritahu anda, ini adalah sasaran yang tidak realistik. Share trading is irregular income (malah semua pelaburan begitu).
Anda kena faham yang harga sentiasa turun naik. Bukan setiap bulan pasaran sentiasa naik. Ada masa turun dengan banyak dan tidak bergerak ke mana-mana.
Maka, anda sepatutnya memulakan pelaburan setelah cukup simpanan sahaja. Sebanyak mana? Bersamaan dengan 6 bulan gaji.
Kenapa sebelum melabur anda perlu ada simpanan dulu?
Pasaran turun dan naik. Perkara paling penting yang perlu dikawal ialah emosi. Jika dah buat kajian yang betul sebelum membeli, maka masa harga turun tetap kena beli. Tambah modal lagi. Bukannya harga jatuh sikit sahaja terus nak jual. Kalau simpanan tidak ada ada, itulah punca utama emosi anda terganggu.
Dapat bayar hutang jahat. Masa anda melabur, untung belum tentu. Tambah lagi dengan hutang kad kredit dengan kadar keuntungan atau kadar faedah setinggi 18%. Memang makin pening. Maka, selesaikan hutang ini dulu. Bila hati anda dah tenang tanpa ada hutang jahat maka melabur pun senang hati. Emosi stabil.
Hidup sentiasa ada kejutan. Anda tak tahu bila terpaksa pakai duit tunai di tangan. Kereta rosak, bumbung rumah bocor, paip air pecah dan lain-lain. Rugi kalau anda terpaksa keluarkan modal dari portfolio pelaburan apabila hal yang tidak diingini sebegini berlaku.
Maka apa yang patut dibuat selepas dah cukup simpanan sebanyak 6 bulan gaji?
Sasaran anda seterusnya ialah kembangkan nilai simpanan & pelaburan sampai jumlahnya bersamaan dengan 24 bulan kali gaji. Jumlah ini membolehkan anda mempunyai fleksibiliti kewangan.
Dalam fasa ini:
Ada perlu melabur di tempat selain ASB dan Tabung Haji.
Kena tahu asset allocation yang wajar.
Masuk kelas-kelas kewangan, atau,
Engage licensed financial planner.
Seterusnya setelah anda dah ada roadmap kewangan yang dibuat bersama financial planner, buatlah keputusan nak urus pelaburan sendiri atau nak appoint individu berlesen untuk menguruskannya.
Sekiranya masih belum ada 1 juta (ini cuma satu jumlah bersifat metafora) maka anda kena semat dalam hati sesungguhnya tujuan utama pelaburan adalah untuk membesarkan net worth atau ekuiti. Simpan dan labur sehingga cukup sasaran yang diperlukan.
Perjalanan pelaburan yang sebenar bermula selepas dah cukup simpanan sebanyak 6 bulan gaji. Melaburlah sehingga akhirnya pendapatan dari pelaburan dapat menggantikan gaji.
Maka simpanan sikit itu berapa jumlahnya?
Tengok slip gaji anda. Pendapatan sebulan darab dengan 6.
Sekiranya jumlah simpanan masih belum cukup 6 bulan gaji, maka underspend your income dan cepat-cepat tinggikan nilai simpanan.
Melaburlah selepas sudah cukup simpanan 6 bulan gaji.
Penulis
Salam. Saya Suzardi Maulan. Seorang Licensed Financial Planner.
Saya membantu golongan profesional supaya dapat bersara dengan selesa.