Kenapa Gajah Saya Tidak Terbang?
Masa zaman sekolah dulu, saya sentiasa dapat A dalam subjek Pendidikan Syariah Islamiyyah. Sampailah ke peperiksaan SPM. Alhamdulillah. Tetapi untuk subjek-subjek sains, saya susah betul nak dapat A, sampai SPM tak jumpa A nya.
Lepas lebih 20 tahun ambil SPM, jumpa balik kawan-kawan lama entah macam mana boleh berbual bab peperiksaan. Baru saya tahu disebalik kehebatan mereka dapat markah tinggi dalam subjek-subjek sains, mereka pula struggle nak dapat A dalam subjek yang saya rasa mudah macam subjek Syariah itu tadi.
Rupa-rupanya setiap dari kita ada kelebihan sendiri. Apa yang mudah untuk kita, mungkin orang lain struggle. Apa yang sukar untuk kita, mungkin mudah untuk orang lain.
Cuba latih gajah terbang …
Hari ini banyak produk pelaburan. Nak melabur dimana?
Pempengaruh sini kata melabur lah dalam kripto - inilah masa depan. Ada pempengaruh situ pula kata lebih baik melabur dalam emas - ini aset ciptaan tuhan. Ada pula pempengaruh lain yang sebut lebih baik letak sahaja dalam ASB - dah pasti dapat dividen tuan-tuan.
Bagi saya, untuk menjawab soalan melabur di mana ini simple. Mudah. Tetapi bukan semua orang dilatih dengan ilmu kewangan dan berpengalaman melabur. Jadi, soalan yang simple untuk saya jawab boleh jadi sukar untuk orang lain.
Solusi sebenarnya ialah jangan suka ikut pempengaruh. Sebab lagi ramai influencer kewangan anda ikut, semakin peninglah jadinya. Bukan sebab pempengaruh ni menipu atau nak scam orang tetapi lebih kepada kesan buruk mendapat terlalu banyak maklumat dalam sesuatu masa.
Akhirnya pening untuk ikut mazhab pelaburan yang mana. Atau adakah sebenarnya tidak perlu bermazhab atau ikut mana-mana sifu? Buat sahaja keputusan sendiri selepas buat kajian dengan menonton dan membaca 1001 kitab dan video… begitu?
Trade at your own risk (TAYOR)! - itulah kata-kata akhir sekalian pempengaruh selepas selesai buat kerja mempengaruh yang langsung tidak membantu anda membuat keputusan pelaburan.
Apa yang saya dapat pesan di sini ialah kepada anda yang tidak ada masa dan kemampuan untuk melabur sendiri, tetap kena tahu yang asas. Dua ilmu asas pelaburan yang kena belajar ialah:
Pertama ialah apa yang disebut dalam bahasa teknikal sebagai time value of money. Ilmu ini menjawab persoalan kenapa duit tunai perlu dilaburkan dan jangan biar disimpan sahaja tanpa ditukarkan ke aset-aset produktif.
Apa yang anda dapat faham melalui time value of money?
Inflasi. Bagaimana kuasa membeli dapat berkurangan dan menyebabkan pada masa hadapan duit yang lebih banyak diperlukan untuk beli barang atau servis yang sama berbanding hari ini.
Kebaikan menangguhkan kehendak. Kenapa perlu kurang berbelanja pada hari ini supaya dapat berbelanja lebih pada masa depan.
Urus risiko. Jangan tengok pasal potensi duit boleh jadi 1 kali ganda sahaja, tapi ambil kira juga potensi rugi 20,30,40 peratus atau lebih.
Kedua ialah tentang jenis-jenis aset. Ilmu ini menjawab kenapa ada aset dapat bagi untung bukan sekadar 4,5 kali ganda tetapi lebih dari 10 kali ganda tetapi ada aset yang tidak dapat bagi untung yang sebegitu.
Disebabkan tidak tahu jenis-jenis aset, ramai orang tidak sedar hakikatnya ASB, Tabung Haji berbeza dengan pelaburan saham. KWSP tidak dapat dibandingkan dengan unit trust. Aset tradisional (bon/sukuk dan saham) tidak sama dengan aset alternatif seperti derivatif, emas atau matawang kripto.
Malah dalam pelaburan ekuiti itu sendiri ada banyak lagi pecahan.
Private equity market iaitu seperti membuat pelaburan dalam syarikat FashionValet atau Farm Fresh (sebelum IPO).
Public equity market iaitu membuat pelaburan dalam syarikat Farm Fresh (selepas IPO) atau Tenaga Nasional melalui Bursa Malaysia.
Malah dalam public equity market itu sendiri ada kategori yang berbeza sama ada melabur dalam syarikat-syarikat ACE market, small to medium cap atau bluechip. Jadi, kalau mahu potensi keuntungan sehingga lebih 10x ganda, maka kena lah tahu dalam kategori mana pelaburan sebegitu dapat wujud.
Malangnya kebanyakan pelabur hanya tahu membandingkan sesuatu pelaburan hanya dengan satu cara iaitu melihat keuntungan lepas. Bagus atau tidak bagus sesuatu pelaburan itu sekadar dinilai dengan cara ini. Sedangkan anda melabur untuk masa depan.
Ada sebab kenapa sesuatu aset itu hanya dapat beri untung dalam 4-5% sahaja setahun dan bukannya 100% setahun dan hal ini sudah tentu berkait dengan prinsip-prinsip time value of money itu tadi.
Kena faham sesungguhnya jenis aset itu berbeza dengan produk. Aset tidak banyak, produk itu yang banyak sampai beribu-ribu. Setiap produk mempunyai underlying asset yang berbeza.
Kalau anda lihat semua pelaburan sebagai produk maka itu punca yang menyebabkan anda membandingkan ASB dengan kripto. Emas dengan saham. KWSP dengan unit trust.
Itu adalah perbandingan yang salah umpama membandingkan kenapa burung rajawali terbang tinggi tetapi gajah tidak boleh terbang. Lantas anda pun buat kesimpulan burung rajawali adalah haiwan yang lebih baik dari gajah.
Ujian untuk diri sendiri ialah selepas ambil masa untuk belajar jenis-jenis aset yang ada, yang mana satu yang anda dapat faham dengan mudah dan seterusnya buat penerangan dengan lukisan krayon untuk anak yang berusia 9 tahun
Kalau memang pelaburan hartanah itulah circle of competence anda, maka buat apa sibuk-sibuk untuk melabur dalam kelas aset yang lain. Pelaburan hartanah itu sendiri adalah bidang yang boleh bagi pulangan yang baik.
Berminat nak ikut pempengaruh pun, hadkan kepada pempengaruh bidang hartanah. Tidak ada keperluan untuk ikut semua jenis pempengaruh kewangan. Lagi-lagi yang promosi produk sebab dibayar.
Nak dapatkan servis pun, dapatkan dari profesional dalam bidang hartanah. Bukannya minta nasihat hartanah dari orang unit trust misalnya. Semua orang ada periuk nasi yang hendak dijaga.
Selepas mengetahui secara umum dua perkara tadi barulah anda dapat pilih dan fokus kepada pelaburan yang sesuai dengan diri sendiri. Apa yang sesuai untuk diri anda tidak semestinya sama dengan orang lain.
Selalunya sesuatu pelaburan itu tiada masalah. Yang selalu jadi masalah ialah pelabur itu sendiri.
Dalam hati mahu untung 10 kali ganda. Namun bila harga pasaran jatuh tidak sampai 5% pun dah tidak boleh terima. Macam mana tu? Saya cuma tahu 1 jenis kelas aset yang selalu dijanjikan untung besar tanpa ada potensi rugi iaitu jenis investment scam.
Selain dari itu prinsipnya ialah lagi tinggi untung yang anda mahu maka lagi tinggi potensi rugi anda kena hadap melalui kejatuhan harga.
Sama ada menguruskan pelaburan sendiri mahu pun menggunakan khidmat pihak profesional.
Penulis
Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang licensed financial planner, penulis dan jurulatih kewangan & pelaburan secara Islami.